PENGENDALI Taiwan, Gary White berharap Stadium Nasional Bukit Jalil akan dipenuhi dengan ribuan penyokong Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.
Bercakap pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada Isnin, White berharap mereka dapat memperoleh mata pertama di harapan penyokong Malaysia pada aksi terakhir kelayakan.
Untuk rekod, Taiwan masih belum memperoleh sebarang mata dalam lima perlawanan kelayakan dalam kumpulan D.
BACA LAGI: Pan-gon beri bayangan 'gung-ho', ambil risiko pastikan misi 8-0 terlaksana
BACA LAGI: Dion Cools gesa Harimau Malaya ubah mentaliti, raih kemenangan besar berdepan Taiwan
Kata White, dia berharap Taiwan dapat mengutip mata pertama mereka di depan ribuan penyokong Harimau Malaya.
"Kami berharap stadium akan dipenuhi dengan ramai penyokong untuk perlawanan ini. Harapnya, kami juga dapat memperoleh mata pertama kami di sini," katanya.
Setakat ini, jualan tiket bagi perlawanan tersebut hanya terjual sebanyak 5,001 keping menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menyedari Malaysia terdesak memerlukan kemenangan besar, White berkata mereka sedia memberikan cabaran sukar buat Harimau Malaya semata-mata untuk menafikan hasrat skuad kebangsaan untuk marak.
Ujar White dengan tegas, Taiwan datang ke Bukit Jalil dengan tujuan untuk menang.
"Kami tidak akan beri peluang mudah buat Malaysia, kami datang ke sini untuk memenangi perlawanan.
"Kami akan berikan yang terbaik untuk perlawanan ini," ujar White.
Pada perlawanan sebelumnya melibatkan kedua-dua pasukan, Malaysia berjaya menang dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Darren Lok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram