SELAIN Malaysia, seteru utama di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand begitu giat mencari ke seluruh dunia pemain-pemain berkualiti untuk mewakili skuad kebangsaan masing-masing.
Tidak kira sama ada darah itu mengalir menerusi bapa atau ibu, kedua-dua negara ini begitu serius mengumpulkan segala pemain terbaik supaya dapat membantu skuad kebangsaan.
Saat Indonesia dan Thailand begitu serius dalam perkara ini, Malaysia menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelihatan agak perlahan dalam mendapatkan pemain warisan.
BACA LAGI: MAB bantu Harimau Malaya terbang tinggi, jadi penaja utama FAM 3 tahun
BACA LAGI: Bukan tak cuba tapi Vietnam, Brunei pilihan awal aksi friendly — FAM
Sekadar statik
Jika hendak dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand, Malaysia kelihatan begitu perlahan dalam usaha mendapatkan pemain warisan yang layak beraksi untuk Harimau Malaya.
Contoh ketara boleh disaksikan menerusi Indonesia. Hingga kini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) masih aktif mencari pemain warisan yang layak mewakili mereka terutamanya di Belanda.
Malah, bukan setakat skuad senior, pasukan remaja Indonesia juga sudah mula disertai pemain-pemain warisan Indonesia yang bakal mengetuai cabaran Garuda di masa depan.
Tahap agresif Indonesia dalam mencari pemain warisan menampakkan mereka begitu serius untuk merajai bola sepak di Asia Tenggara, Asia serta dunia. Sementara bagi Malaysia, langkah kita seolah-olah terhenti dalam perkara ini.
Justin Hubner antara satu daripada ramai pemain warisan Indonesia. — Agensi
Presiden turun padang
Melihat kepada betapa seriusnya Indonesia dan Thailand dalam menjejak pemain warisan, ia memberikan pentunjuk seberapa tinggi keazaman dua negara tersebut untuk maju dalam bola sepak.
Keazaman itu jelas terpancar apabila Presiden FA Thailand, Nualphan Lamsam atau Madame Pang terbang sendiri ke London, England untuk bertemu dengan pemain warisan mereka iaitu Jude Soonsup-Bell.
Hasil pertemuan itu, pemain muda Tottenham Hotspur tersebut bersetuju untuk mewakili Thailand selepas mendengar sendiri daripada mulut Madame Pang mengenai pelan untuk Soonsup-Bell jika bersama skuad kebangsaan.
Komitmen yang ditunjukkan harus dicontohi oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Jika Malaysia menemui pemain warisan berkualiti, tidak salah untuk Hamidin pergi sendiri berjumpa dengannya untuk 'melamar' mewakili Harimau Malaya.
Atau ini satu mesej tersirat?
Melihat kepada pergerakan statik FAM dalam memburu pemain warisan, ia menimbulkan persoalan, adakah ia sebenarnya mesej halus daripada badan induk bola sepak negara yang mereka tidak meminati pemain warisan?
Sebelum ini, FAM secara terbuka mengatakan mereka tidak lagi terlibat dalam projek naturalisasi dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak kelab. Tetapi itu adalah pemain naturalisasi yang tidak mempunyai setitik pun darah Malaysia dalam badan mereka.
Jika FAM kurang berminat untuk pergi mendapatkan pemain warisan, mungkin mereka boleh tumpukan fokus kepada pembangunan bakat tempatan dan akar umbi dengan kerjasama kelab-kelab Liga Malaysia.
Salah satu pilihan mesti dibuat, jika kita akan terus ditinggalkan oleh jiran tetangga dan semakin terkebelakang dalam bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram