'Bermainlah seperti tiada hari esok', legenda Harimau Malaya cabar adrenalin anak-anak buah Kim Pan-gon


  • Podium
  • Isnin, 10 Jun 2024

Sebahagian sesi latihan Harimau Malaya yang dijangka berpotensi membenam Taiwan dengan adanya kehadiran pemain seperti Dions Cools (tiga kanan), Stuart Wilkin (empat kanan) dan Brendan Gan (tiga kiri). — Facebook/FAM

SEBUT sahaja nama James Wong, sudah pasti ramai penyokong tanah air mengenali individu yang terkenal dengan jolokan 'King James' itu.

Legenda kelahiran Sabah itu terkenal selepas menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan pada malam penuh dramatik bertarikh 7 April 1980 sekali gus melayakkan skuad kebangsaan ke Sukan Olimpik Moscow.

Memiliki pengalaman yang luas dalam industri bola sepak, James turut tidak ketinggalan dalam memberi nasihat untuk Malaysia menjelang kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ayah orang Tawau', Joshua Laws calon terkini pemain warisan

BACA LAGI: Selangor FC cari jalan terbaik, Faisal Halim dapat kembali beraksi musim ini

WhatsApp Image 2024-06-10 at 15.48.25

Skuad senior Malaysia menerima suntikan semangat apabila Sergio Aguero (kiri) dipanggil untuk mengukuhkan jentera serangan Harimau Malaya. Facebook/FAM

Menurutnya, anak-anak buah Kim Pan-gon perlu berazam untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan.

Dengan hanya berbaki satu perlawanan, Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata, manakala Kyrgyzstan di tangga kedua dengan 10 poin dan Oman di tangga teratas dengan 12 mata.

Untuk 'mencuri' tempat kedua dalam kumpulan, Malaysia perlu membenam Taiwan dengan jumlah jaringan yang besar sambil berharap Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Dua pasukan teratas akan mara ke pusingan ketiga kelayakan dan juga layak ke Piala Asia 2027.

James berkata, pasukan itu tidak seharusnya membiarkan mereka terganggu oleh faktor lain yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap tugas kerana misi mereka adalah untuk mendapatkan seberapa banyak gol ketika menentang Taiwan.

“Pemain perlu memastikan mereka menyumbat gol sebanyak mungkin dan jika ada peluang, mereka perlu merebut peluang tersebut.

“Mereka tidak perlu bimbang tentang perkara lain dan hanya menjalankan tugas mereka, bermainlah seperti tiada hari esok dan selebihnya serahkan kepada takdir.

"Jika mereka berbuat demikian, maka tidak kira apa yang berlaku dalam perlawanan lain, pemain boleh keluar dengan tenang," katanya.

Tambahnya lagi, ketiadaan pemain utama seperti Faisal Halim dan Arif Aiman ​​Hanapi dalam skuad, Pan-gon perlu memanfaatkan sepenuhnya apa yang dia ada dan pemain lain perlu bekerja keras untuk membuktikan diri mereka.

“Pan-gon melakukan yang terbaik dengan menurunkan pemain yang dia fikir boleh menggalas tugas itu. Pemain hanya perlu menunjukkan kepadanya bahawa mereka sudah bersedia.

“Skuad kebangsaan pastinya memerlukan keajaiban, tetapi apa yang pasti, sentiasa ada peluang dalam bola sepak," tambah James lagi. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram