JENDELA FIFA yang sedang dibuka ketika ini menyebabkan saingan Liga Super terhenti sementara dengan hampir kesemua pemain kini melaporkan diri untuk mewakili negara masing-masing.
Jadi, dalam memastikan pemain yang tidak dipanggil berada di tahap kecergasan terbaik, beberapa pasukan tempatan mengadakan perlawanan persahabatan baik di dalam mahupun di luar negara.
Antara yang berbuat demikian ialah Selangor FC dan Sabah FC dengan mereka menyertai aksi RCTI Premium Sports yang turut disertai dua kelab Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
BACA LAGI: Isyarat 4 jari 'hint' halus Sabah sekali lagi dilanda isu gaji?
BACA LAGI: Neymar Malaysia antara 3 pemain sesuai ganti Darren Lok sebagai penggempur utama Sabah
Skuad Garuda memiliki lambakan pemain berkualiti. — Agensi
Pertandingan itu diakhiri dengan kemenangan buat skuad kendalian Nidzam Jamil yang muncul sebagai juara sementara Sabah berada di tangga ketiga secara keseluruhan.
Ia boleh dikatakan sebagai satu peluang terbaik buat kesemua peserta memberikan minit permainan buat pemain, lebih-lebih lagi buat 'ubi muda' dan mereka yang jarang diturunkan.
Malah, bagi skuad Gergasi Merah dan Sang Badak, ia sekali gus membuka pintu buat mereka mencipta hubungan dengan Indonesia yang pasti memberi peluang pada jendela perpindahan akan datang.
Perkara itu turut disedari Nidzam dan pengurusan Selangor FC yang secara terbuka menyatakan minat kelab untuk membawa masuk mana-mana pemain dari negara jiran itu.
Bagi Sabah FC pula, meskipun tidak menyuarakannya, penyokong sudah tentu berasakan keputusan untuk menyertai pertandingan itu memberikan manfaat yang sama.
Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain Indonesia yang mempunyai profil bersesuaian dengan kedua-dua kelab tersebut berdasarkan gaya permainan diterapkan.
1. Marselino Ferdinan
Pada jendela perpindahan lalu, terdapat khabar angin mengatakan Kelantan Darul Naim (KDN) FC berminat untuk mendapatkan pemain tengah muda, Marselino Ferdinan.
Meskipun penyokong bola sepak tempatan berasakan perkara itu tidak logik, kehangatan masih dirasai di Indonesia memandangkan dia ialah seorang bakat muda bersinar di negaranya.
Tetapi, dengan Marselino semakin dikenali di Asia Tenggara, terdapat kemungkinan dia akan kembali ke rantau untuk memudahkan segala urusan melaporkan diri ke negara kelahirannya.
Marselino (kanan) memiliki pengalaman dalam skuad B-23 dan senior Indonesia. — Agensi
Liga Super merupakan salah satu destinasi terbaik dengan Selangor FC dan Sabah FC merupakan kelab terbaik dalam mengalu-alukan kepulangan pemain berusia 19 tahun itu dari kelab Belgium, KMSK Deinze.
Dia yang pernah menjaringkan gol dalam Piala Asia 2023 dan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) tidak perlu lagi memperkenalkan diri dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan khidmatnya seakan-akan sedikit sukar memandangkan masih terdapat pasukan Asia Tenggara memiliki kemampuan menyambarnya, seperti Johor Darul Ta'zim dan Buriram United.
2. Asnawi Mangkualam
Bek kanan merangkap kapten skuad Garuda, Asnawi Mangkualam merupakan seorang lagi pemain negara itu yang dikaitkan dengan Liga Super sepanjang jendela perpindahan lalu.
Sabah FC dan Selangor FC adalah dua pasukan yang berkali-kali disebut berminat dengan pertahanan berkenaan dengan ia merupakan posisi paling lemah buat mereka.
Kehilangan Rizal Ghazali menyaksikan Ko Kwang-min terpaksa diletakkan sebagai bek kanan oleh Datuk Ong Kim Swee meskipun pemain Korea Selatan terbabit lebih selesa di sayap sebaliknya.
Asnawi memiliki reputasi cukup baik sebagai bek kanan di rantau Asia Tenggara. — Agensi
Bagi skuad Gergasi Merah pula, prestasi tidak menentu oleh Quentin Cheng musim lalu menyaksikannya disisihkan dan digantikan Sharul Nazeem Zulpakar dengan ia masih belum mencukupi.
Jadi, sekiranya mereka mahu menjadi sebuah pasukan yang sering bersaing, kemasukan Asnawi boleh menjadi komponen terakhir bagi melengkapi barisan pertahanan cukup sempurna.
Pemain berusia 24 tahun itu sudah tentu boleh disambar memandangkan dia beraksi di kelab Thailand, Port FC yang bukanlah sebuah pasukan cukup digeruni di Asia Tenggara.
3. Jay Idzes
Seorang lagi pemain berbakat besar, Jay Idzes berjaya dinaturalisasikan Indonesia baru-baru ini dengan perkhabaran terbabit menandakan kesungguhan negara itu untuk bersaing pada tahun-tahun akan datang.
Manakan tidak, dia yang kini beraksi dalam saingan Serie B di Itali bersama Venezia FC mempunyai pengalaman cukup luas memandangkan dia ialah keluaran projek pembangunan bola sepak sekitar Eropah.
Selain itu, pemain berusia 23 tahun berkenaan juga mempunyai latar belakang cukup baik selepas beraksi beberapa musim di Belanda bersama Go Ahead Eagles yang merupakan kelab lama bek negara, Corbin Ong.
Idzes sudah mencipta debut dalam skuad Garuda meskipun baru sahaja dinaturalisasikan. — Agensi
Jadi, dengan dia akan lebih kerap dipanggil ke dalam skuad Garuda, terdapat kemungkinan bek tengah itu bakal mencari kelab baharu selepas ini seperti mana dialami Marselino.
Tetapi, berdasarkan maklumat di laman web Transfermarkt, Idzes masih memiliki kontrak bersama Venezia sehingga 2027 yang sekali gus menyukarkan harapan Selangor mahupun Sabah.
Di samping itu, dengan nilai perpindahannya mencecah €1.4 juta (RM7.1 juta), gajinya sudah tentu sukar untuk dibayar, lebih-lebih lagi dengan terdapat pilihan murah buat kedua-dua kelab berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram