[VIDEO] Ulangi skrip Toni Kroos, 3 legenda Malaysia termasuk Aidil Zafuan umum gantung but lepas aksi final


  • Podium
  • Isnin, 03 Jun 2024

Kroos mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak selepas membantu Real Madrid menjuarai trofi UCL. — Agensi

BINTANG Real Madrid, Toni Kroos sah menamatkan kariernya dengan penuh gemilang selepas membantu Real Madrid menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Borussia Dortmund (BVB) 2-0 di Stadium Wembley, England pada awal pagi Ahad.

Bintang nasional Jerman itu mengumumkan akan bersara daripada bola sepak selepas tamatnya kempen Piala Eropah 2024 yang akan bermula pada bulan ini.

Pemain berusia 34 tahun itu bermain selama 86 minit sebelum digantikan dengan Luka Modric sekali gus merupakan permainan terakhirnya sebagai bintang bola sepak dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Indonesia 'berdekah' tengok bas Selangor sangkut bawah jambatan

BACA LAGI: [VIDEO] Real Madrid julang trofi UCL, lepas Carlo Ancelotti marah Vinicius Junior

Namun adakah anda tahu, dalam Liga Malaysia juga mempunyai bintang yang mengumumkan persaraan selepas aksi final seperti Toni Kroos.

Dengan ini Majoriti senaraikan tiga legenda Malaysia yang pernah mengumumkan persaraan mereka dari arena bola sepak selepas berada di pentas final:

1. Muhd Shukor Adan

Bekas kapten Harimau Malaya, Muhd Shukor Adan mungkin mempunyai jalan cerita sama dengan Toni Kroos yang menjuarai piala di penghujung karier mereka.

Pada musim 2021, Shukor yang mewakili Kuala Lumpur City FC (KL City) berjaya menewaskan gergasi Liga Malaysia (Liga M) Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pentas akhir Piala Malaysia 2021 dengan keputusan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam perlawanan itu, Shukor sempat beraksi apabila dimasukkan di babak akhir perlawanan sekali gus menjulang trofi Piala Malaysia bersama rakan sepasukan lain.

Shukor ketika ini menjawat jawatan sebagai pembantu jurulatih Harimau Muda bersama-sama Juan Torres Garrido selepas cemerlang membantu Bojan Hodak membawa The City Boys ke pentas akhir Piala AFC 2022.

2. Mohd Aidil Zafuan

Juara Piala AFC 2015, Mohd Aidil Zafuan turut mempunyai pengakhiran yang manis selepas merekodkan kejuaraan Liga Super selama sedekad bersama Harimau Selatan pada musim lalu.

Aidil yang kini dilantik menjadi jurulatih JDT telah menjuarai 19 trofi dalam semua kelab yang pernah diwakilinya sepanjang karier sebagai pemain bola sepak.

Walaupun Aidil tidak beraksi dalam aksi final Piala FA dan Piala Malaysia yang disertai JDT pada musim lalu, namun nama bekas kapten Harimau Selatan itu tetap tersenarai dalam skuad kelab Selatan tanah air itu.

Musim ini, merupakan pengalaman pertama Aidil bergelar jurulatih dalam barisan kejurulatihan JDT yang diketuai Hector Bidalgio dan pengalaman dimiliki bekas pemain itu pastinya ditagih Harimau Selatan untuk terus membimbing ubi muda.

3. Muhamad Khalid Jamlus

Muhamad Khalid Jamlus merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang sudah bersara dan bermain di posisi penyerang bersama beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Khalid pernah mengikuti ujian pemilihan di kelab Jerman, Eintracht Frankfurt yang mana dia dianggap sebagai penyerang terbaik pernah dimilik pasukan Perak FA.

Bekas pemain Perak itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut dengan 132 gol keseluruhan dalam semua kejohanan.

Sepanjang kariernya, Khalid pernah beraksi bersama pasukan Perak, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan.

Khalid pernah berhijrah ke ATM FA pada 2010 namun ditamatkan kontrak disebabkan masalah disiplin.

Pada 2011, Khalid kembali ke Kelantan FA dan bersara dari tahun berikutnya yang mana ketika itu The Red Warriors (TRW) menjadi finalis Piala FA 2011 sebelum tewas di tangan Terengganu dengan keputusan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram