SKUAD negara terpaksa melupakan khidmat Darren Lok bagi menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.
Penyerang Sabah itu sudah melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya tetapi terpaksa dihantar pulang selepas doktor pasukan mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan hamstring.
Darren menjadi pemain terbaharu yang terpaksa diketepikan selepas skuad negara kehilangan Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.
Untuk info, kecederaan hamstring membolehkan pemain itu perlu berehat sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan atau lebih lama jika tidak mendapat rawatan yang betul.
Dengan kecederaan yang dialami oleh Darren Lok, Sabah turut mendapat tempiasnya kerana kehilangan seorang tonggak utama yang sering bergandingan dengan Ramon Machado di bahagian hadapan Sang Badak.
Datuk Ong Kim Swee pastinya mahu mencari pengganti sesuai untuk diletakkan bersama Ramon di bahagian depan.
Dengan ini Majoriti senaraikan tiga pemain wajar diberikan peluang oleh Kim Swee untuk bergandingan dengan Ramon selepas pulang dari kejohanan Indonesia:
1. Muhd Rozaimi Abdul Rahman
Pernah mendapat gelaran 'Neymar Malaysia', Muhd Rozaimi Abdul Rahman kini kembali dalam kancah bola sepak dengan beraksi bersama skuad Sabah Bawah-23 Tahun (B-23) selepas hampir setahun bermain dengan kelab amatur.
Dalam beberapa perlawanan persahabatan bersama Sabah B-23, Rozaimi telah meledak enam jaringan dalam dua perlawanan yang berbeza.
Ia sekali gus mengembalikan aura Rozaimi ketika muda yang berjaya membantu Harimau Muda menjuarai Pestabola Merdeka pada 2013.
Pastinya jika diberi peluang oleh Kim Swee, Rozaimi dapat bangkit dan menunjukkan kemampuannya di atas padang seperti suatu ketika dahulu.
Walaupun tidak mencetak sebarang jaringan ketika Sabah B-23 menentang JDT II pada 20 Mei yang berakhir dengan keputusan 0-3 namun ramai penyokong berpendapat bahawa Rozaimi mampu kembali ke potensi terbaiknya.
2. Gabriel Nistelrooy
Penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Gabriel Nistelrooy berjaya memulakan langkah kanan Piala MFL musim 2024/25 dengan jaringan hatrik yang menyaksikan Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh dengan keputusan 3-0 ketika menentang Sabah B-23 pada 20 Mei lalu.
Pujian sudah tentu diberikan terhadap pemain berusia 24 tahun berkenaan yang semakin matang dalam gaya permainannya meskipun sudah bertahun-tahun bakatnya disedari orang ramai.
Malah, ada yang beranggapan Gabriel sudah cukup sesuai untuk diserap ke dalam skuad utama bagi membantu mengurangkan beban dipikul penyerang utama pasukan, Bergson da Silva.
Namun jika JDT masih tidak berminat untuk mendapatkan khidmatnya, mungkin pihak pengurusan Sabah boleh mengintai khidmat anak jati Sarawak itu.
Jika Darren Lok memerlukan tempoh rehat yang lama, pihak pengurusan Sabah mungkin boleh meminjamkan bintang muda JDT itu ke Sang Badak pada jendela perpindahan kedua Liga Super nanti.
3. Azhad Harraz
Nama pemain muda Sabah FC, Azhad Harraz Arman pernah mencuri tumpuan penyokong selepas pengendali kelab berkenaan, Datuk Ong Kim Swee sanggup turun ke Semporna untuk menawarkan kontrak selama empat tahun kepadanya.
Meskipun kini beraksi bersama Sabah FC Bawah 23 Tahun (B-23) namun pemain berusia 21 tahun itu dijangka mampu menggantikan pemain sayap The Rhinos, Saddil Ramdani.
Ramai penyokong beranggapan bahawa gaya permainan yang ditampilkan oleh Azhad Harraz mempunyai persamaan dengan import Indonesia tersebut.
Walaupun beraksi di posisi yang berbeza namun Azhad Harraz membuktikan bahawa dia prospek muda yang wajar digilap oleh Sabah FC.
Dalam pada itu, boleh dikatakan bahawa Sabah FC sudah pun mempunyai pengganti Saddil pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram