BEKAS pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ramon Marcote Pequeno berpendapat, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih lagi calon 'favourite' untuk menjuarai saingan Liga Super musim 2024/25 walaupun sudah 10 tahun memegang takhta liga.
Perancangan yang dilakukan Harimau Selatan sejak 2014 berkembang dengan laju dan banyak peningkatan yang berlaku sehingga meninggalkan pesaing lain.
Selangor menjadi antara pasukan yang kini semakin mengejar JDT dalam usaha pembangunan fasiliti, pengurusan dan pemilihan pemain sejak diambil alih oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah pada 2019.
BACA LAGI: MFL perlu segera tetapkan hukuman tepis persepsi 'sengaja rosakkan rentak Selangor FC'
Marcote musim lalu menyertai Selangor sebagai pembantu jurulatih Cheng Hoe.
"Saya rasa JDT masih lagi calon pilihan untuk menjuarai semua gelaran dalam Liga Malaysia musim ini.
"Sejak 2014, JDT berkembang dengan pesat yang mana mereka meningkatkan segala urusan pasukan dengan lebih pantas daripada kelab lain.
"Pelan strategik, perniagaan, perancangan sukan, fasiliti, pelaburan dalam akar umbi membuahkan hasil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Apatah lagi pelaburan untuk skuad utama dengan melantik jurulatih berkualiti tinggi, pakar dan beberapa pemain import yang terbukti di luar negara," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, hasil projek 10 tahun JDT itu dilakukan dengan sangat baik dan beliau mengajak pasukan lain untuk melakukan perkara sedemikian bagi merapatkan jurang Harimau Selatan.
"Mereka (JDT) melakukan semua ini dengan cara yang sangat baik dalam tempoh 10 tahun yang lalu.
"Itulah sebabnya susah untuk pasukan lain mengejar mereka dalam masa yang singkat ini.
"Tetapi ini adalah bola sepak dan apa sahaja boleh berlaku, Terengganu, Selangor, Pahang, Sabah, Kedah dan Kuala Lumpur mesti berjuang untuk cuba merapatkan jurang dengan JDT," jelasnya.
Marcote juga memuji Selangor yang semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu dan diikuti pasukan lain yang membuatkan Liga Super itu bertambah kompetitif saban tahun.
"Selangor FC berkembang dengan sangat baik beberapa tahun kebelakangan ini.
"Sama juga dengan Sabah dan Terengganu, tanpa melupakan Pahang, Kedah serta Kuala Lumpur yang sentiasa kuat dan memberikan saingan kompetitif dalam Malaysia," ujarnya.
Untuk rekod, Marcote pernah membimbing Kedah pada 2017 sebelum kembali ke Malaysia musim lalu sebagai pembantu jurulatih Tan Cheng Hoe bersama Selangor sehingga layak ke pentas Asia tahun ini.
Marcote pernah menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih kelab gergasi Sepanyol, Atletico Madrid dan Arab Saudi, Al-Hilal sebelum dilamar oleh pasukan Ethnikos sebagai ketua jurulatih pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram