TULAR di media sosial Indonesia apabila bas yang membawa pasukan Selangor di negara jiran itu tersangkut di bawah sebuah jambatan kerana tidak melepasi had ketinggian yang ditetapkan.
Perkongsian video oleh warga tempatan itu sempat berseloroh dengan mengatakan perlawanan akhir kejohanan empat penjuru melibatkan pasukan Selangor dan Persija Jakarta pada Ahad malam terpaksa dibatalkan, sekali gus memastikan Persija Jakarta muncul juara dan menjulang piala.
Sebelum ini, Selangor berjaya menewaskan Sabah FC dalam kejohanan RCTI Premium Sports dengan keputusan 3-2 hasil jaringan Aliff Haiqal Lau, Yohandry Orozco dan gol sendiri Park Tae-su untuk memastikan kejayaan mara ke final berpihak kepada skuad Gergasi Merah. Gol-gol Sabah pula disumbangkan oleh Saddil Ramdani dan Jefri Firdaus Chew.
BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT
Manakala satu lagi perlawanan melibatkan dua kelab Indonesia, Persija Jakarta menewaskan PSIS Semarang dengan keputusan 1-0 sekali gus akan berjumpa Selangor di pentas akhir kejohanan RCTI Premium Sports di Stadium Antarabangsa Jakarta pada Ahad.
Disebabkan insiden terbabit, perjalanan pemain-pemain Selangor mungkin tergendala untuk ke stadium kerana kenderaan itu tidak melepasi sebuah jambatan sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Belum ada kenyataan rasmi penganjur berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram