SELEPAS tampil dengan nota cemerlang di Terbuka Thailand serta Malaysian Masters, para pemain kebangsaan tidak berjaya mengulangi rekod tersebut semasa Terbuka Singapura.
Malaysia pulang dengan tangan kosong di bumi Singa selepas tiada wakil negara berjaya sampai ke separuh akhir di setiap kategori.
Namun begitu, permulaan baharu boleh dicapai terutamanya bagi tiga wakil Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 apabila turun beraksi di Terbuka Indonesia bermula 4 hingga 9 Jun.
BACA LAGI: Pearly-Thinaah perlu korban Piala Uber demi pingat Sukan Olimpik — Pakar
BACA LAGI: Harapan buru emas sulung Olimpik: Saya harap Lee Zii Jia 'peak' di Paris — Hamidin
Lee Zii Jia terpaksa menarik diri di Terbuka Singapura kerana kecederaan. — BAM
Lee Zii Jia
Pemain perseorangan utama lelaki negara ini menikmati peningkatan yang cukup baik dari segi prestasi pasca Piala Thomas.
Selepas beraksi longlai sebelum Piala Thomas, Zii Jia bangkit pada kejohanan tersebut dan momentum tersebut dibawa pada Terbuka Thailand dan Malaysian Masters.
Hasilnya, Zii Jia muncul juara Terbuka Thailand dan meraih gelaran naib juara Malaysian Masters selepas tumpas kepada jaguh Denmark, Victor Axelsen.
Di Singapura, nasib tidak menyebelahi Zii Jia apabila mengalami kecederaan sekali gus terpaksa menarik diri pada pusingan pertama pada saat akhir akibat kecederaan. Jika dapat pulih mengikut jadual, Zii Jia boleh kembali menggegar di bumi Indonesia pula.
Pearly Tan-M. Thinaah
Selepas meraih kedudukan podium pada Malaysian Masters, gandingan beregu wanita negara ini dilihat mampu meneruskan kecemerlangan apabila beraksi di Terbuka Singapura.
Namun begitu, momentum itu tersekat apabila mereka tumbang seawal pusingan pertama kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning dengan kekalahan straight set.
Kekalahan itu mengundang kecaman penyokong dengan mereka menggesa gandingan tersebut meningkatkan lagi kualiti permainan menjelang Sukan Olimpik.
Bakal berdepan gandingan Chinese Taipei iaitu Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui di pusingan pertama, inilah masanya untuk Pearly-Thinaah kembali menyengat.
Gandingan Pearly-Thinaah tidak menjadi di Singapura. — BAM
Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Gandingan hebat beregu lelaki negara ini turut terkandas sebelum separuh akhir sekali gus tidak berjaya menduduki podium di Terbuka Singapura.
Tewas kepada Kim Astrup-Anders Rasmussen, gandingan negara tidak berjaya meneruskan rekod kemenangan bertemu wakil Denmark selepas menewaskan mereka di Piala Thomas.
Momentum masih ada pada pasangan negara ini untuk mara, jadi mereka pasti boleh 'kayuh' untuk mendapatkan kejuaraan di Indonesia.
Dengan status Terbuka Indonesia sebagai kejohanan Super 1000, pastinya wakil negara akan memberikan persembahan terbaik untuk meraih kejuaraan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram