INSIDEN dialami tiga pemain kebangsaan Safiq Rahim, Faisal Halim dan Akhyar Rashid menyaksikan kempen 'Tiada Keganasan dalam Bola Sepak' dilaungkan dalam usaha mengelakkan isu sedemikian berulang.
Selain khuatir perkara sedemikian menyebabkan ramai tidak tertarik dengan sukan itu, kejadian berkenaan perlu dielakkan kerana perkara tersebut akan memberi impak negatif terhadap semua pihak, terutamanya penyokong dan mangsa.
Namun, kempen yang giat dilancarkan itu ibarat mencurah air ke daun keladi kerana baru-baru ini, insiden keganasan pula muncul dalam kalangan peminat.
BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil MSSD naik angin lepas dipukul pemain dari belakang di Kubang Pasu
BACA LAGI: [VIDEO] Pemain tersungkur kena terajang lelaki tak berbaju dalam kes pergaduhan di Butterworth
Kekecohan berlaku selepas aksi antara JDT dan KL City FC pada Sabtu lalu.
Pergaduhan tercetus selepas perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan tuan rumah, Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lalu sudah cukup untuk membuktikan masalah itu masih belum diselesaikan.
Tidak cukup dengan itu, perkara sama turut berlaku sehari kemudian apabila kelihatan beberapa penyokong mencetuskan pergaduhan setelah tamatnya aksi antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Selangor.
Perkara sedemikian seakan-akan menyimpulkan bahawa usaha pelbagai pihak untuk menghalang keganasan dalam sukan bola sepak tanah air tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.
Malah, kelompok yang sering terlibat dalam isu berkenaan juga seperti gagal mengambil teladan daripada insiden keganasan terdahulu dengan ia tidak membawa sebarang manfaat.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga kejadian terdahulu yang cukup untuk menjadi bukti buat penyokong bahawa pergaduhan dan pertelingkahan hanya mendatangkan mudarat buat diri mahupun orang sekeliling.
1. Perak FC vs Selangor FC (2023)
Sekiranya ditanya peminat bola sepak setia tanah air, mereka pastinya tahu akan perseteruan antara Selangor dan Perak kerana kedua-dua kelab itu adalah antara yang terbaik satu ketika dahulu.
Bagaimanapun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, suasana setiap kali perlawanan itu tidak lagi dirasai, lebih-lebih lagi selepas skuad The Bos Gaurus (TBG) tergelincir ke divisyen kedua bola sepak tanah air pada 2020.
Tetapi, bagi penyokong kedua-dua pasukan, mereka masih beranggapan pertembungan antara mereka mempunyai nilai dan sejarah tersendiri memandangkan ia masih digelar 'Derby Malaya' sehingga hari ini.
Beberapa penyokong mengalami kecederaan akibat kekecohan sebelum perlawanan.
Ia dibuktikan pada musim lalu ketika Perak FC bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor untuk aksi Liga Super dengan persiapan rapi dibuat mereka yang jauh ketinggalan berbanding skuad Gergasi Merah.
Namun, kemeriahan aksi berkenaan tercalar selepas berlakunya insiden pertelingkahan sebelum perlawanan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan dan kerosakan harta persendirian.
Masalah terbabit sekali gus membuatkan penyokong saling menuding jari ke arah satu lama lain atas punca kekecohan dengan pihak polis terpaksa membuat beberapa tangkapan.
2. KL City vs Selangor (2022)
Selangor FC sekali lagi terpalit dengan isu keganasan menggemparkan dengan ia terjadi pada 2022 melibatkan penyokong kelab Lembah Klang berkenaan dan peminat setia KL City FC.
Insiden berlaku dalam aksi pembukaan Liga Super pada musim tersebut setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 hasil satu perlawanan cukup mendebarkan dipamerkan.
Kehangatan aksi diikuti dengan pergaduhan di luar Stadium Cheras, KL dengan beberapa objek dibaling berikutan provokasi dibuat antara satu sama lain.
Penyokong KL City dan Selangor FC membuat kekecohan di luar Stadium Cheras, KL.
Kejadian mendesak pihak polis untuk bergegas ke lokasi untuk meleraikan pergaduhan antara satu sama lain dengan dua individu masing-masing berusia 22 dan 23 tahun ditahan.
Meskipun tiada kecederaan serius dialami, ia sedikit sebanyak menceritakan keghairahan di atas padang boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku sekiranya tiada usaha mengelaknya daripada tercetus.
Namun, berdasarkan pertemuan 'Derby Lembah Klang' pada 2023, tiada kekecohan sedemikian berlaku meskipun aksi berkenaan boleh dianggap sebagai salah satu yang dinanti-nantikan orang ramai.
3. Perak vs JDT (2016)
Seperti dinyatakan di atas, Perak FC pernah menjadi salah sebuah pasukan terbaik sehingga membuatkan penyokong cukup teruja setiap kali pemain skuad TBG beraksi di laman sendiri.
Bagaimanapun, insiden keganasan masih berlaku berpunca daripada kehadiran pihak tidak bertanggungjawab sehingga membawa risiko terhadap penyokong lain.
Salah satu kejadian paling sukar dilupakan adalah pada 2016 ketika Perak menerima kunjungan JDT dengan masing-masing berentap untuk meraih gelaran Liga Super.
Kekecohan dalam Stadium Perak masih diingati sehingga hari ini.
Provokasi difahamkan menjadi punca pergaduhan tercetus antara satu sama lain dengan masing-masing saling membaling objek keras seperti serpihan kayu dan botol.
Tidak cukup dengan itu, ayat dilontarkan seperti 'JDT Bangsat' dan 'Perak Bangsat' menghangatkan suasana sehingga menyebabkan keadaan gagal dikawal di Stadium Perak.
Keadaan akhirnya terkawal selepas pihak polis memerlukan masa kira-kira 30 minit untuk meleraikan pergaduhan dengan dua individu turut ditahan akibat kekecohan itu.
Meskipun insiden sedemikian pernah berulang beberapa tahun selepas itu, keghairahan antara kedua-dua pasukan yang semakin berkurangan di samping cengkaman Perak yang semakin lemah dalam arena bola sepak tanah air menyebabkannya kurang mendapat perhatian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram