Kes simbah asid pernah berleluasa, Faisal Halim 'target' terbaharu lepas 4 tragedi gemparkan negara


  • 112
  • Selasa, 07 Mei 2024

Faisal Halim (kiri) dan Akhyar Rashid (kanan) menjadi mangsa kegiatan jenayah baru-baru ini.

ARENA bola sepak tanah air digemparkan dengan tragedi malang melanda dua wakil kebangsaan selepas masing-masing mengalami kecederaan akibat serangan individu tidak dikenali baru-baru ini.

Meskipun disanjung peminat tatkala menyarung jersi Harimau Malaya, namun keselamatan duo kebangsaan itu turut diancam individu dipercayai angkara perbuatan khianat yang tidak diketahui.

Akhyar Rashid menjadi mangsa pertama apabila dilaporkan cedera parah di kepala akibat kegiatan samun di Terengganu pada Khamis lalu.

Terbaharu, pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim pula berdepan serangan asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka negara di Kota Damansara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Untuk rekod, tragedi simbah asid bukan kejadian kali pertama berlaku dengan beberapa kes sebelum ini turut mencetuskan kekecohan melibatkan masyarakat tempatan.

553

1. Remaja parah disimbah asid ketika pulang kerja

Pada 8 November tahun lalu, seorang remaja perempuan cedera parah disimbah asid ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Ketika kejadian, mangsa, Nadia Fasha Qistina, 19, didekati seorang penunggang p-hailing dari arah belakang yang kemudiannya menyimbah cecair asid pada mukanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol ketika itu berkata, siasatan kes itu masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek.

Kesemua keterangan 12 individu telah dirakam bagi membantu siasatan kes berkenaan dan mangsa dilaporkan melecur 70 peratus di muka dan badan akibat serangan terbabit.

WhatsApp-Image-2023-07-14-at-12.55.56-PM

2. Wanita warga emas simbah asid kepada lelaki Pakistan

Seorang wanita warga emas didakwa menyimbah asid ke atas seorang lelaki warga Pakistan sehingga mengalami kelecuran tahap satu di bahu kanan dan belakang badan dekat Batu Caves, Gombak, Selangor pada 4 Julai lalu.

Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Saira Abdullah, 62, selepas dia mengaku bersalah mencederakan mangsa, Inam Ullah, 37, di sebuah pangsapuri.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

2256165

3. Pasangan peniaga roti nan disimbah asid

Seorang wanita warga emas dipercayai menjadi dalang dalam kejadian pasangan suami isteri cedera disimbah asid di sebuah Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, Selangor pada Julai lalu.

Kejadian berlaku semasa pasangan tersebut bersama seorang anak lelaki berusia 14 tahun dirakam masuk ke dalam lif sebelum didatangi seorang wanita tidak dikenali.

Suspek kemudiannya bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif dan terus melarikan diri.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian bahu, pipi dan mata serta belakang bahu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad ketika itu berkata, tangkapan terhadap suspek dilakukan pukul 4.20 petang di sebuah kediaman di Rawang dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

msg-468649021-50059

4. Premis jual kereta terpakai disimbah asid

Selain orang, harta benda turut menjadi mangsa khianat perbuatan simbah asid.

Beberapa premis menjual kenderaan terpakai dilaporkan berdepan detik sukar apabila disimbah asid selain turut diperas ugut oleh suspek agar membayar sehingga RM10,000, jika tidak mahu kejadian sama berulang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika itu berkata, pemilik premis menjual kenderaan itu memaklumkan, mereka menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada suspek yang memeras ugut itu, selepas kedai mereka menjadi mangsa disimbah asid.

Hasil siasatan polis mendapati sebanyak 12 laporan diterima sejak 2 Mei 2023 hingga 23 Mei 2023 dan kejadian tersebut menyebabkan 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama mengalami kerosakan, akibat disimbah asid dan cecair disyaki peluntur cat.

Soffian berkata, kesemua kes itu disiasat Seksyen 427 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan, serta pihak polis turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, agar menyalurkannya kepada polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram