Sandro sukar hadam nasib Kedah, akui pemain sukar berentap di tahap terbaik


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Sandro pernah memainkan peranan penting sepanjang empat tahun menyarung skuad Sang Kenari.

NASIB dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC cukup menyedihkan apabila pemiliknya, Tan Sri Mohd Daud Bakar menceritakan bahawa dia seakan-akan keseorangan dalam menguruskannya.

Meskipun memiliki reputasi cukup megah, kesukaran mencatatkan keputusan konsisten sepanjang musim menyukarkan hasrat menarik penaja utama beberapa minggu selepas liga bermula.

Situasi itu menyaksikan pelbagai pihak, termasuk penyokong yang seperti buntu untuk memberikan bantuan buat kelab yang pernah berada di persada bola sepak tanah air itu.

BACA LAGI: 'Satu kerugian buat bola sepak negara' Pol Corpas ulas keputusan TRW

BACA LAGI: Lee Tae-min pemusnah ‘paling manja’ dimiliki Perak FC — Yusri Che Lah

2714316

Nasib dialami skuad Sang Kenari meraih simpati orang ramai. Facebook/KDA FC

Malah, bekas pemain import kelab, Sandro Mendonca turut mengakui keadaan semasa Kedah cukup menyedihkan dengan dia berasakan isu terbabit akan memberi kesan terhadap persembahan pemain.

"Saya berasa sedih ketika saya menerima perkhabaran mengenai masalah dialami mereka. Sudah tentu ia adalah sesuatu yang tidak baik untuk kelab, penyokong dan terutamanya pemain.

"Anda tidak boleh berentap di tahap terbaik jika menghadapi beban hutang yang hebat atau masalah perlu diselesaikan kerana fokus kelab akan teralih," katanya kepada Majoriti.

Setakat ini, skuad Sang Kenari masih berusaha mencari penaja utama meskipun sudah berjaya mengikat persetujuan dengan pelbagai sumber kewangan kecil di negeri itu.

Namun, ia masih belum cukup untuk mengelak mereka daripada terjebak dalam kemelut kewangan dan tunggakan gaji yang pernah dialami sepanjang tahun lalu.

2714317

Daud Bakar mengakui pihaknya sedang giat mencari penyelesaian.

Tambah Sandro, penyelesaian segera perlu diambil pihak pengurusan KDA FC untuk memastikan kelab berkenaan dapat kembali memberikan persembahan lebih baik.

"Saya berharap Kedah dapat mencari jalan untuk menguruskan masalah ini dengan mencari penaja untuk membantu seterusnya membina sebuah akademi bagi mencungkil bakat baharu," katanya.

Untuk rekod, Sandro yang merupakan pemain dari Brazil pernah beraksi empat musim bermula 2015 untuk skuad Sang Kenari dengan beberapa pencapaian memberangsangkan pernah direkodkannya.

Ini termasuk satu gelaran Piala FA dan Piala Sumbangsih sebelum dia berhijrah ke Selangor FC dan kemudiannya berubah angin dengan menyertai Sarawak United FC pada 2021.

Kini, pemain berkenaan dilaporkan tidak lagi beraksi secara kompetetif selepas kali terakhir buat skuad Ngap Sayot dengan usianya sudah mencecah 40 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram