Lee Tae-min pemusnah ‘paling manja’ dimiliki Perak FC — Yusri Che Lah


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Tae-min berjaya menambat hati penyokong selepas dua gol dijaringkannya memastikan tiga mata dibawa pulang skuad TBG. — Facebook/Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

SEUSAI kekalahan 2-3 kepada PDRM FC di Stadium Perak, 18 Mei lalu, Yusri Che Lah berkongsi firasat bahawa pemain import mudanya, Lee Tae-min, yang banyak memberi opsyen dalam serangan pasukan pasti akan menimbulkan masalah kepada pasukan lawan.

Belum pun lama ramalannya, pemain yang baru menyambut hari jadi ke-21 pada 9 Mei lalu itu menyerlahkan ketajaman sentuhan penyudahnya dengan kedua-dua gol pada minit ke-16 dan 77 dalam kemenangan 2-0 diraih Perak FC ke atas Kedah FC di Stadium Darulaman, Alor Setar malam tadi.

Ia menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut The Bos Gaurus untuk mengutip tiga mata pertamanya yang harus dirasakan lebih manis kerana diraih di tempat lawan ke atas pasukan di tangga keempat liga musim lalu.

Ditanya mengenai sumbangan Tae-min dalam sidang medianya selepas perlawanan, ketua jurulatih Perak FC itu mengungkapkan: “Ya, pemain muda saya, paling muda 21 tahun dan pemain paling manja.

441490818_462801682966879_8169896526245366640_n

Yusri (hitam) dan Tae-min berpelukan selepas wisel penamat ditiupkan. Facebook/Perak FC

“Manja disebabkan (dia) tak boleh berbahasa Inggeris, jadi kita ayam itik dengan dia (gunakan) bahasa badan sahaja dalam bola sepak. Tetapi dia memahami dan karakternya dengan umur 21 tahun, saya rasa seandainya diberi lebih minit beraksi, dia akan lebih baik untuk pasukan.

“Perlu diingat kadang-kadang pemain-pemain import muda tidak semua boleh beraksi dengan baik, terutama mereka yang tidak beraksi dalam Liga K2 pun, dia beraksi dalam Liga K3. Jadi, orang mungkin mengatakan level dia rendah tapi apabila kita lihat, mungkin dia perlukan lebih sedikit lagi masa untuk lebih memperkembangkan cara permainannya tapi saya amat berpuas hati,” katanya.

Rekod menunjukkan pemain berketinggian 1.77 meter itu menghabiskan dua musim terakhirnya bersama dua kelab Liga K2, Busan IPark dan Gimpo FC, sebelum perpindahannya ke Perak FC.

Dibandingkan dengan musim lalu, Perak FC gagal meraih mata penuh dalam tiga perlawanan pertamanya – tewas 1-4 kepada Kedah FC, seri 0-0 dua perlawanan berikutnya dengan PDRM FC dan Kelantan United FC sebelum mencipta kemenangan pertama ke atas Kuching City FC 2-0.

Musim ini pula, mata penuh mampu diraih seawal perlawanan ketiga – sesuatu yang dianggap Yusri melepaskan pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain daripada tekanan hebat peminat.

444445848_462791199634594_6178488907081297616_n

Tae-min (tengah) jelas berpuas hati selepas memastikan kemenangan buat skuad TBG. Facebook/Perak FC

“Selepas dua perlawanan, penantian berakhir untuk tiga mata pertama musim ini. Syukur kepada ALLAH kerana memberi kemenangan pertama liga buat kami walaupun ia berlaku di gelanggang lawan. Saya faham ia tidak memberikan kami banyak harapan ke sini.

“Tapi apa pun saya perlu berterima kasih kepada semua pemain. Saya tahu betapa tertekannya kita semua dalam keadaan kita tewas serta dibolosi dengan jaringan yang agak tinggi (termasuk ketika tewas 1-3 kepada Terengganu FC dalam perlawanan pertama).

“Dan malam ini, saya faham Kedah menguasai sebahagian besar perlawanan dan kami hanya sesekali membuat serangan balas. Inilah bola sepak. Seandainya kita menggunakan peluang dengan sebaik mungkin, ia memihak kepada kita.

“Dalam masa yang sama, kita perlu melihat ataupun menilai kembali kelemahan-kelemahan yang terdapat pada malam ini. Sudah pasti ruang untuk perbaiki amat-amat kita perlukan,” tambahnya.

Merumuskan tiga perlawanan pertama mereka, ketua jurulatih itu berkata Perak FC sebenarnya beraksi lebih baik dalam dua perlawanan terdahulu, termasuk ketika tewas kepada Terengganu FC di tempat lawan pada 11 Mei.

438108051_462801492966898_4920749499774461311_n

Kemenangan di tempat lawan menyuntik semangat buat pemain. Facebook/Perak FC

“Dalam dua perlawanan terdahulu, kita beraksi dengan baik tapi keputusan adalah sebaliknya. Dan sudah pasti kemenangan malam ini dengan gaya permainan yang saya tahu semua tidak menyukainya tapi inilah bola sepak.

“Mungkin kalau kita terus menyerang, lebih bergaya dengan corak permainan tapi keputusan adalah sebaliknya, saya rasa peminat juga tidak akan suka. Baik macam mana pun (kalau) kita tanpa mata, orang akan meragui kemampuan kita.

“Jadi, apa yang ditunjukkan sudah pasti memberi keyakinan kepada peminat untuk hadir memberi sokongan, terutama apabila bertemu dengan Terengganu FC (aksi Piala FA pada 14 Jun) dan Selangor FC (23 Jun di Petaling Jaya) nanti,” katanya.

Yusri turut menepis tanggapan kononnya kemenangan ke atas Sang Kenari adalah bersandarkan nasib gara-gara kesilapan barisan pertahanan Kedah di samping dua peluang baik tuan rumah itu masing-masing melalui Sukhrob Nurulloev dan Sony Norde dihampakan oleh tiang dan palang gol.

438119437_462798442967203_4682789617176609445_n

Kepuasan jelas terpancar di wajah Yusri atas kemenangan pertama skuad TBG musim ini. Facebook/Perak FC

“Saya beritahu kepada pemain saya ketika kami tewas kepada PDRM, dalam bola sepak orang mungkin boleh bercakap 1,001 perkataan, nasib dan sebagainya. Tapi saya tidak percaya pada nasib.

“Apa juga permainan kita malam ini bukan berdasarkan nasib, (sebaliknya) berdasarkan apa yang kita persembahkan walaupun mungkin orang mengatakan itu strategi bertahan.

“Bukan angkuh, sekali lagi saya katakan saya bukan angkuh tetapi ini realiti. Saya mengambil kata- kata Pep Guardiola, dia kata dalam bola sepak tidak ada nasib.

“Saya memuji permainan Kedah tetapi jaringan tidak terhasil, jadi kemenangan kepada kami. Apa yang telah dilalui oleh Nafuzi (Zain), saya minta beliau tabah dengan para pemain, mereka adalah terbaik tapi perlu berusaha lebih untuk mendapatkan kejayaan pasukan,” katanya.

Analisis terhadap keupayaan pertahanan Kedah yang dikemudi oleh Cleylton dalam dua perlawanan terdahulu Sang Kenari ketika menewaskan PDRM FC 1-0 dan tunduk 0-1 kepada Selangor FC turut membuahkan hasil buat The Bos Gaurus.

“Kita melihat pertahanan Kedah dan kita mengkaji dalam dua perlawanan terdahulu, cuma kita cuba memerangkap mereka dengan corak sedemikian.

“Alhamdulillah ia terjadi dan saya rasa gol pertama membunuh perjuangan mereka dan gol kedua telah melenyap habis (tentangan lawan),” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram