Pertembungan '2 vs 2' bintang tumpuan jadi penarik aksi The Jangs-Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 26 Mei 2024

Pertembungan Reziq (kiri) dan Sasaki (kanan) bakal menjadi tumpuan kedua-dua penyokong pada pertemuan Ahad malam.

NEGERI Sembilan FC (NSFC) akan menerima kunjungan Selangor FC dalam perlawanan ketiga Liga Super dengan misi untuk mengutip tiga mata selepas tewas 1-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 18 Mei lalu.

Skrip berbeza pula buat Selangor yang turun untuk mencuri tiga mata penuh selepas berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan kemenangan tipis 1-0 pada Sabtu minggu lalu.

Pertembungan itu juga akan menyaksikan pertarungan hebat taktikal dua jurulatih tempatan, Azzmi Aziz dan Nidzam Jamil.

BACA LAGI: Selangor sahkan Faisal Halim discaj hospital, proses pemulihan amat luar biasa

BACA LAGI: TMJ ‘bersuara’ kes pecah rumah Khuzaimi Piee, ‘comment ni kena delete ke?’

Azzmi Aziz musim lalu mengendalikan PDRM FC yang dan perah menewaskan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan 1-0 pada 3 Jun 2023.

Jadi dalam pertembungan NSFC-Selangor pastinya beberapa pemain akan menjadi fokus lensa kamera menjelang aksi tersebut, dengan itu Majoriti senaraikan empat bintang bakal jadi pemain tumpuan pada Ahad malam:

1. Reziq Bani Hani

Pemain import baharu Selangor, Reziq Bani Hani bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan selepas dia tampil cemerlang dalam 20 minit baki permainan ketika Gergasi Merah menewaskan Sang Kenari pada Sabtu minggu lalu.

Reziq yang menggantikan Mukhairi Ajmal berjaya membantu Gergasi Merah mencipta jaringan dengan hasil gerakan yang dimulakan olehnya.

Jika Reziq diberi peluang oleh Nidzam Jamil pastinya akan ada pemain import yang perlu dikorbankan dalam kesebelasan utama memandangkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hanya membenarkan enam pemain asing di atas padang.

Sebelum Reziq menyertai Selangor, pemain muda itu menjadi penjaring terbanyak buat pasukan terdahulu, Al-Faisaly SC.

2. Nooa Laine

Pengalaman beraksi di Liga Finland membuktikan pemain pinjaman Selangor, Nooa Laine berada dalam kelas tersendiri apabila tenang mengawal bahagian tengah Selangor semasa menewaskan Kedah tempoh hari.

Walaupun tidak menjaringkan gol, Nooa yang beraksi di posisi tengah bertahan berjaya mengekang asakan lawan selama 90 minit sehingga Sang Kenari gagal menjaringkan sebarang jaringan.

Gandingan Nooa bersama dua pemain import Selangor, Yohandry Orozco dan Noor Al-Rawadbeh ternyata berhasil selepas Gergasi Merah dilihat lebih mengawal tempo permainan.

Pemain berusia 21 tahun itu pastinya menjadi tumpuan semasa menentang Negeri Sembilan nanti dengan ketenangan dan hantaran lambung yang boleh mengucar-ngacirkan benteng pertahanan The Jangs.

3. Takumi Sasaki

Takumi Sasaki diterbangkan dari Jepun dengan profil yang kurang memberangsangkan kerana hanya berbekalkan pengalaman beraksi bersama pasukan J3 League (divisyen ketiga Jepun) iaitu Ehime FC.

Walaupun begitu, pemain berusia 26 tahun berkenaan menunjukkan kualiti tersendiri apabila mencatatkan tiga gol dan mencatatkan tiga hantaran bantuan dalam empat perlawanan persahabatan skuad Jang.

Persembahan yang memukau penyokong Negeri Sembilan itu membuatkan penyokong ingin menyaksikan pemain berjersi tujuh tersebut diletakkan sebagai tonggak utama bagi menentang skuad Gergasi Merah di Stadium Paroi pada Ahad.

Kelebihan tonggak bertubuh kecil itu apabila pemain tengah menyerang itu boleh membantu bahagian serangan skuad Jang Hobin dengan melakukan gerakan-gerakan yang berbahaya ke kubu lawan.

4. Mika Angel Junco

Mika Junco mempunyai rekod yang baik apabila meledak 62 gol dan 10 bantuan jaringan (assist) dalam 136 penampilan.

Musim terbaik Mika ialah mewakili FC KTP dalam liga divisyen kedua Finland apabila meledak 36 jaringan dalam 61 penampilan sekali gus hampir separuh gol yang dilakukannya itu ketika bersama kelab tersebut.

Pemain berusia 31 tahun itu juga boleh beraksi di posisi sayap pernah merekodkan 19 gol dalam Liga Finland sekali gus memberikan gambaran pesaing baharu penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva selepas ketiadaan Ayron del Valle.

Namun begitu, menjadi persoalan adakah Mika mampu menyesuaikan diri dengan cepat dalam perlawanan menentang Selangor memandangkan cuaca, padang dan corak permainan amat berbeza dengan Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram