KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa menelan pahitnya kekalahan selepas Perak FC melakukan kejutan dengan menewaskan Sang Kenari di hadapan penyokong tuan rumah sendiri hasil dua jaringan Lee Tae-min pada Jumaat.
Sang Kenari akur dengan keputusan 0-2 walaupun beraksi buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri selepas dua perlawanan sebelum ini menentang PDRM FC dan Selangor FC di gelanggang lawan.
Pengendali Kedah, Nafuzi Zain menurunkan skuad terkuat dalam misi untuk meraih tiga mata penuh selepas Sang Kenari tewas dibenam oleh Gergasi Merah hasil jaringan lewat Aliff Haiqal Lau 0-1 pada 18 Mei lalu.
BACA LAGI: 'Man to watch', Syafiq Ahmad ketuai senarai 4 bintang tumpuan pertembungan TBG-Sang Kenari
BACA LAGI: 'Syafiq in, Arif Aiman out', Pan-gon pertaruh semangat Utara lawan Republik Kyrgyz, Chinese Taipei
Kedah yang bermula baik pada awal babak permainan tersentak dengan jaringan awal Tae-min pada minit ke-16 selepas pemain itu menerima hantaran jauh daripada kapten pasukan, Luciano Guaycochea.
Pada babak kedua perlawanan, Tae-min sekali lagi mudah menolak bola masuk ke dalam gawang gol Kedah selepas kealpaan pertahanan Sang Kenari yang membiarkan pemain muda Korea Selatan itu berseorang di bahagian kiri padang.
Tambah mengecewakan penyokong Kedah apabila pemain import Serbia, Milos Gordic gagal menyudahkan segala percubaan meskipun beberapa peluang sudah terhidang di hadapannya.
Pada minit ke-71, Nafuzi membawa masuk Ebenezer Assifuah untuk menggantikan Milos Gordic bagi membantu jentera serangan Sang Kenari dilihat buntu selepas ketiadaan Syafiq Ahmad yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Kemasukan bekas pemain nasional Ghana itu ternyata memberikan impak positif buat Sang Kenari dengan larian serta skil yang ditampilkannya di penghujung permainan.
Namun 20 minit tidak cukup buat penjaring terbanyak Piala MFL 2023 itu untuk membantu Kedah menyamakan kedudukan.
Disebabkan itu, penyokong menyeru agar Nafuzi Zain memberikan peluang buat Assifuah untuk berada dalam kesebelasan utama Sang Kenari selepas aksi yang dipamerkannya selama 20 minit ketika menentang Perak itu.
"Permainan menarik, Assifuah kalau masuk awal mungkin lagi padu, tahniah team walaupun kalah, tapi kalah berlawan tengok tak bosan. Harap Irfan (Zakaria) kekal lagi untuk perlawanan seterusnya," kata Aziem Nazziem.
"Next game, kalau Milos Gordic itu ada dalam kesebelasan utama, tak sempat mula perlawanan saya dah keluar stadium," luah Ahmad Zulfikrie.
"Assifuah itu sepatutnya masuk dari separuh masa pertama lagi," ujar Saifu Flips.
"Assifuah masuk terus game jadi rancak, pandai buat larian dengan cari ruang. Harap Nafuzi Zain nampak usaha 20 minit yang ditunjukkan bekas penjaring terbanyak MFL itu," jelas Ajmal Zuki.
Untuk rekod, Assifuah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala MFL pada musim lalu selepas meledak 16 jaringan.
Malah pemain berusia 30 tahun itu pernah menjadi penjaring terbanyak Piala Dunia 2013 B-20 Tahun dengan enam gol.
Pencapian Assifuah itu membuktikan ketajaman yang ada pada bekas penyerang nasional Ghana itu.
Sang Kenari selepas ini akan bertemu Bukit Tambun FC di pusingan ke-16 Piala FA untuk layak ke peringkat kalah mati pada 14 Jun nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram