'Satu kerugian buat bola sepak negara' Pol Corpas ulas keputusan TRW


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Pol Corpas ketika bergandingan bersama Rezal Zambery semasa memimpin TRW pada musim 2022. — Facebook/TRW

SELEPAS terpalit dengan pelbagai kontroversi, kelab Pantai Timur, Kelantan FC akhirnya terpaksa menekan brek apabila mengambil keputusan untuk menarik diri daripada terus bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Ia selepas Kelantan dikhabarkan mahu fokus untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku sebelum ini termasuk isu tunggakan gaji sehingga menghantui pasukan itu sejak awal musim lalu.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) itu sekali gus melenyapkan Kelantan daripada peta bola sepak negara walaupun mempunyai sejarah hebat di masa lalu.

BACA LAGI: Bekas pemain Kelantan tak setuju AFL beri 'masa tambahan' buat TRW

BACA LAGI: Diberi 'masa tambahan', pemilik Kelantan lebih selesa kongsi perkembangan terkini TRW

Bekas jurulatih Kelantan, Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar berpendapat satu kehilangan besar buat kancah bola sepak negara dengan penarikan diri Kelantan musim ini.

"Saya sangat sedih Kelantan tidak akan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

"Akhirnya Kelantan menjadi pasukan kaya dengan sejarah dan penyokong sebenarnya tidak layak mendapatkan pengakhiran sebegini.

"Apa sahaja yang melibatkan kehilangan (pembubaran) atau tidak dapat bersaing, saya lihat sebagai satu kerugian kepada bola sepak negara.

"Kerana ia adalah soal kelab, liga dan kuantiti, jika lebih banyak pasukan, lebih menarik persaingan musim ini akan jadi," katanya kepada Majoriti.

Kelantan yang masih berhutang dengan Pol mengenai kes tunggakan gajinya masih dalam proses Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan sedang dikendalikan oleh peguamnya meskipun The Red Warriors tidak akan beraksi dalam kancah liga bola sepak musim ini.

"Sebelum ini ada juga kes seperti Kelantan, dua tahun lalu Sarawak United dan Melaka United juga mengalami isu yang sama.

"Kes saya dikendalikan oleh peguam saya dan sedang dalam proses dengan FIFA, jadi saya akan bersabar dan InshaALLAH semuanya akan baik-baik sahaja," ujarnya.

Pol turut merasakan penyokong Kelantan telah melakukan yang terbaik untuk berada di belakang pasukan dan berpendapat pihak pengurusan TRW tidak mahu mencari jalan penyelesaian lebih baik.

"Penyokong dalam keadaan susah kerana pihak yang bertanggungjawab ke atas kelab tidak mahu mencari jalan penyelesaian untuk meneruskan kesejahteraan kelab.

"Sebagai penyokong mereka telah melakukan segala yang mungkin, lihat pada musim 2022 dan awal 2023, di mana mereka datang ke stadium, membeli barangan kelab sekali gus telah menyumbang kepada kewangan kelab.

"Saya juga berharap isu saya dengan individu lain yang pernah bersama kelab dapat diselesaikan dan menerima tunggakan gaji yang mereka hutang.

"Malangnya sehingga hari ini kami perlu meratib dan merayu untuk meminta gaji sedangkan ia adalah hak kami.

"Kita hanya mampu berdoa agar masalah selesai dengan segara dan dipermudahkan," luahnya.

2564585

Pol Corpas menyertai JDT II selepas hampir enam bulan bersama LCS. — Facebook/PolCorpas

Pol musim ini menyertai barisan kejurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan mengakui teruja berada dalam sistem bola sepak JDT selepas mengalami episod hitam bersama Kelantan.

Jurulatih berusia 27 tahun itu dilamar menjadi sebahagian keluarga JDT dengan menggalas peranan sebagai penganalisis video untuk skuad simpanan Harimau Selatan.

Musim 2024/25 menyaksikan Pol Corpas akan bergandingan bersama jurulatih baharu JDT II, Juanmi Munoz yang dilantik sebagai pengganti pengendali sebelumnya, Mariano Echevarria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram