Syarikat berpotensi 'sponsor' Kedah bakal adakan pertemuan 4 mata bersama Daud Bakar


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Daud Bakar sebelum ini mendedahkan KDA FC hanya dijangka mampu bertahan kurang daripada dua bulan. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC difahamkan bakal menerima suntikan dana dari sebuah syarikat tempatan untuk membantu pasukan Hijau Kuning keluar daripada masalah kewangan yang masih membelenggu kelab itu sehingga kini.

Niat baik syarikat berpangkalan di Utara tanah air berkenaan untuk membantu skuad Sang Kenari kerana tidak sanggup pasukan berpengaruh seperti Kedah daripada terkubur begitu sahaja dek tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

Pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar juga difahamkan sudah menghubungi syarikat berkenaan untuk mengadakan pertemuan bagi berbincang lebih lanjut mengenai tajaan tersebut.

BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan

BACA LAGI: Tarik diri pun tak selesaikan masalah kewangan KDA FC

Wakil syarikat berkenaan berkata, Daud Bakar sudah tampil mengubungi mereka namun buat masa ini sebarang maklumat terperinci masih belum dapat dikongsikan kepada para penyokong Hijau Kuning.

"Tan Sri (Daud Bakar), insya-ALLAH akan jumpa tidak lama lagi, nanti kami maklumkan," kata wakil syarikat berkenaan kepada Majoriti.

Walau apapun bentuk bantuan ataupun jumlah wang yang berkemungkinan akan disalurkan oleh syarikat berkenaan, pasti ia boleh membantu membantu menampung sedikit perbelanjaan Kedah sepanjang Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Daud Bakar menyatakan kewangan yang ada ketika ini, pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan dijangka bertahan kurang daripada dua bulan.

Ia susulan selepas penaja utama kelab KDA FC menarik diri daripada menaja pasukan berkenaan malah kurang sokongan daripada beberapa pelbagai pihak antara punca pasukan itu tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

KEDAH

Kedah kini bergelut untuk mendapatkan bantuan kewangan. Facebook/KDAFC

"Jika tiada penaja utama dalam masa terdekat, ia akan menjadi sukar kepada KDA FC untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.

"Ketika ini, kewangan yang ada sekarang boleh bertahan satu atau dua bulan sahaja," katanya.

Ekoran masalah kewangan berkenaan, Sang Kenari juga tidak dapat melancarkan jersi bagi saingan Liga Super 2024/2025 kerana masih tiada penaja utama meskipun saingan liga sudah bermula.

Sebelum ini pihak pengurusan Kedah dalam satu kenyataan berkata, pihak pengurusan mencapai kata sepakat dengan penaja jersi musim ini iaitu AL Sports Sdn Bhd bagi menangguhkan sementara pelancaran jersi sehingga berjaya mendapatkan penaja utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram