KEDATANGAN Lee Tae-min ke bumi Perak ketika jendela perpindahan bukanlah disambut dengan penuh ekspektasi, namun dua gol membantu The Bos Gaurus (TBG) menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah cukup membuatkan penyokong jatuh cinta kepadanya.
Perak FC turun ke Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat dengan penuh rasa rendah diri terutama selepas skuad kendalian Yusri Che Lah itu masih belum meraih kemenangan pertama.
Namun, siapa sangka pemain import dari Korea Selatan berkenaan berhasil menyelamatkan air muka skuad Seladang menerusi dua jaringan golnya yang mendiamkan seluruh penyokong Hijau Kuning di Darul Aman.
BACA LAGI: Dua gol klinikal import TBG bikin Sang Kenari gigit jari di laman sendiri
BACA LAGI: Bek muda Perak dikhabar cedera, nama bekas tonggak KDN FC diseru turun lawan Kedah
Gol pertama pemain berusia 20 tahun dibuat apabila Tae-min berjaya memecahkan kubu pertahanan Kedah melalui hantaran jauh dari kapten pasukan, Luciano Guaycochea dan seterusnya berjaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.
Sumbangannya keduanya pula dimulakan oleh penyerang gantian, Clayton Silva apabila dia melakukan beberapa hantaran menarik dengan pemain Perak yang lain dan akhirnya disudahkan oleh Tae-min pada minit ke-76.
Menarik mengenai dua sumbangan gol dari pemain sayap kiri berkenaan, Tae-min rupa-rupanya mengulang sejarah ciptaan dua bekas bintang Perak iaitu Guilherme de Paula dan Shahrul Saad.
Menerusi hantaran dari Semuanya Bola di laman Facebook, pemain berketinggian 1.77 meter itu menjadi pemain pertama berjaya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan pertama dalam liga sejak De Paula dan Shahrul pada musim 2020.
Shahrul antara bekas pemain Perak yang masih dirindui penyokong. — Facebook/PerakFC
Selain mengulang sejarah dua bekas pemain itu, gaya permainan Tae-min pula dikatakan mirip bintang Tottenham Hotspur dan Korea Selatan, Son Heung-min dengan kedua-dua mereka juga beraksi sebagai sayap kiri pasukan.
"Tahniah Perak ada pemai import yang berkualiti. Gaya main dah macam Son Heung-min dari Tottenham. Umur pun baru 20 rasanya," puji penyokong skuad Seladang, Rizd De'Boyz.
"Dia pun gelek dah macam Son Heung-min," kata penyokong Perak FC, Amirul Aziq.
Selepas ini, khidmat Tae-min pasti akan digunakan lagi oleh Yusri untuk membantu Perak FC meraih kemenangan kedua apabila bertemu Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh pada 23 Jun nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram