Kekalahan hatrik Liga Super, fans Kelantan paksa KDN FC tukar nama asal


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Penyokong mahu KDN FC menukar nama pasukan kepada asal iaitu MPKB-BRI FC susulan kekalahan hatrik yang dicatatkan kelab itu setakat tiga aksi awal Liga Super.

KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) masih gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan awal Liga Super apabila yang terbaharu tewas kepada Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 0-3 di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu pada Jumaat.

Kekalahan di tangan Sang Penyu itu meletakkan Kijang Emas kini berada pada kedudukan terbawah Liga Super selepas Perak FC berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 di halaman lawan pada Jumaat.

KDN FC yang berbelanja besar musim ini apabila membawa masuk sembilan pemain import baharu gagal memberikan saingan ketika menentang Terengganu, Sabah FC dan Sri Pahang FC.

BACA LAGI: Penyokong Kelantan sinikal, suruh 'sign' Safee Sali ajar pemain import paling mahal sepak bola

BACA LAGI: Diberi 'masa tambahan', pemilik Kelantan lebih selesa kongsi perkembangan terkini TRW

Tidak berpuas hati dengan kekalahan hatrik yang dialami oleh skuad kendalian Park Jae-hong, penyokong Kelantan mahu pasukan itu menggunakan nama asli pasukan sebelum mengubahnya menjadi Kelantan Darul Naim pada musim ini.

Sebelum ini KDN FC telah menggunakan beberapa nama seperti MPKB-BRI UBeS FC, MPKB-BRI FC dan Kelantan United.

"Tiga perlawanan dah kalah, tak tahu nak cakap apa lagi. Dengar KDN FC belanja besar tahun ini, tapi hasil macam itu sahaja main.

"Tukar nama MPKB semula, kira main Liga DUN dulu, jauh benar nak main Liga Super. Malu dekat import Palestin, setakat itu sahaja mutu pemain Kelantan," luah Azmie Harun.

"Macam mana nak ambil hati penyokong-penyokong Kelantan? Baru nak turun stadium dah kalah tiga perlawanan berturut-turut," ujar Muhd Hanif Ramli.

"Sejarah mungkin berulang, kalau macam ini baik tukar nama asal, MPKB-BRI FC biar tak malukan nama negeri Kelantan," jelas Redhuan Hafiz.

Luahan penyokong Kelantan itu menyaksikan mereka sangat dahagakan kemenangan selepas hampir setahun pasukan utama negeri itu, TRW Kelantan mempamerkan persembahan yang paling teruk dalam Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Peminat bola sepak di Kelantan terpaksa beralih kepada KDN FC sebagai wakil tunggal dari negeri Pantai Timur itu yang beraksi dalam Liga Super selepas The Red Warriors (TRW) tersungkur ke Liga A1 Semi-Pro.

Menambah duka penyokong Kelantan, terkini TRW sah hilang dari peta bola sepak negara apabila menarik diri daripada kancah Liga M selepas bergelut dengan masalah kewangan.

Musim ini, KDN FC telah menandatangani ramai bekas pemain TRW dan beberapa import yang mencecah nilai jutaan ringgit bagi bersaing dalam Liga Super.

Antara pemain import paling mahal dibawa masuk KDN FC musim ini ialah bekas penyerang skuad nasional Congo, Chadrack Muzungu Lukombe yang mempunyai pengalaman beraksi di sekitar benua Afrika dan Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram