Jika benar Kedah 'terkubur', MFL perlu bersedia hilang seri Liga Super, jawab persoalan penyokong


  • Podium
  • Rabu, 22 Mei 2024

Sokongan penyokong Hijau Kuning tidak pernah putus. — Facebook/KDA FC

PENDEDAHAN menyedihkan dibuat pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengalami situasi kewangan pasukan Utara tanah air itu.

Mereka yang dilanda masalah gaji bermula pertengahan musim lalu masih belum terlepas daripada kemelut dialami berikutan ketiadaan penaja utama selepas dua minggu Liga Super 2024/25 berlangsung.

Situasi berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong mengenai masa depan Kedah sekiranya sumber kewangan tidak dapat dicari dalam masa terdekat.

BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan

BACA LAGI: Andai KDA FC bubar, jangan kembali ke JDT tapi Syafiq Ahmad patut 'singgah' dua kelab Utara

2538516

Skuad Sang Kenari merupakan salah sebuah pasukan yang megah dengan sejarah tersendiri dalam Liga Super. — Facebook/KDA FC

Malah, ada juga beranggapan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu segera membuat satu perancangan sekiranya skuad Sang Kenari tidak dapat meneruskan operasi.

Status KDA FC yang megah sejak bertahun-tahun dahulu sememangnya satu tarikan dalam dunia bola sepak tanah air apabila penyokong sering hadir untuk menonton perlawanan melibatkan mereka.

Contoh terbaik dapat disaksikan musim lalu apabila puluhan ribu peminat hadir ketika pasukan berkenaan menerima kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Darul Aman, Kedah.

Meskipun tahu bahawa isu kewangan sedang 'membelit' kelab, aksi terbabit masih dapat menarik perhatian ramai kerana reputasi KDA FC yang megah hasil pembangunan berpuluh tahun lamanya.

Selain itu, kehadiran kelab berkenaan cukup penting dalam melahirkan bakat tempatan kerana mereka sering menghasilkan pemain yang diserap ke dalam Harimau Malaya meskipun tidak mempunyai sistem akademi teratur.

21765054_1545621138817682_4897452149123384436_n

Rizal (kiri) dan Baddrol merupakan antara produk terbaik skuad Sang Kenari.

Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad dan Tan Cheng Hoe merupakan beberapa nama yang pernah mewakili negara dengan masing-masing memulakan karier bersama kelab Hijau Kuning itu.

Jadi, sekiranya Kedah tidak dapat menyelamatkan diri dalam masa terdekat, tamparan lebih hebat pasti dirasai MFL memandangkan nilai kelab itu sendiri cukup hebat.

Jawapan juga perlu diberikan badan pengelola bola sepak negara tersebut atas kos operasi yang meningkat saban tahun dengan pelbagai kelab sudah menjadi mangsa.

Selain perlu menyediakan skuad utama dalam Liga Super, setiap pasukan juga perlu menubuhkan skuad lebih muda untuk berentap dalam Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.

Perancangan sebegini mendesak pihak pengurusan membelanjakan wang sehingga puluhan juta ringgit setiap tahun tanpa pulangan yang berbaloi, baik di atas mahupun di luar padang.

Oleh itu, sekiranya Kedah menjadi 'mangsa' baharu dalam usaha memajukan bola sepak negara, MFL perlu bersedia dengan kenyataan demi menjawab persoalan demi persoalan yang sudah tentu akan diajukan terhadap mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram