SKUAD sepak takraw negara bagi acara double dan regu menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke pusingan akhir dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Selasa.
Bagi acara double, skuad negara yang dibarisi gandingan hebat Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin berjaya mengenepikan cabaran negara serantau, Myanmar di pentas separuh akhir Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Set pertama menyaksikan double Myanmar kerap melakukan kesilapan sehingga membenarkan Malaysia mendahului dengan keputusan 15-10.
BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia tunggu gergasi Asia di semifinal Piala Dunia Sepak Takraw
BACA LAGI: Andai KDA FC bubar, jangan kembali ke JDT tapi Syafiq Ahmad patut 'singgah' dua kelab Utara
Bersambung set kedua pula, kedua-dua pasukan saling memberikan saingan yang akhirnya membawa kepada kedudukan terikat 14-14.
Namun, dengan semangat juang yang tinggi dipamerkan double negara dan enggan mengecewakan penyokong, Malaysia akhirnya meraih kemenangan dengan keputusan 17-16.
Sementara itu, saingan regu pula menyaksikan trio negara yang dibarisi Mohammad Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan akhir selepas menundukkan Myanmar 2-0.
Regu Malaysia mempamerkan persembahan luar biasa apabila membenarkan regu Myanmar hanya mengutip 14 mata dalam dua set perlawanan itu.
Skuad negara bagi acara double dan regu akan berdepan cabaran Thailand yang menewaskan Indonesia bagi acara double dan Filipina (regu) di pentas final pada 22 Mei yang berlangsung di Stadium Titiwangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram