Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan


  • Podium
  • Ahad, 19 Mei 2024

Pertahanan Selangor FC, Shahrul Nazeem (tengah) antara individu penting Gergasi Merah apabila berjaya menyekat serangan Sang Kenari. — Facebook/MFL

HARAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk meraih tiga mata ke atas Selangor FC pada aksi kedua Liga Super 2023 musnah apabila tewas 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Jaringan tunggal pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada minit ke-85 cukup buat pasukan tuan rumah meraih kemenangan yang sebelum itu turut memperoleh beberapa peluang namun percubaan gagal menerjah gawang gol pelawat.

Menariknya aksi tersebut, kedua-dua pasukan menzahirkan solidariti kepada bintang sensasi Selangor FC, Faisal Halim yang kini masih lagi dirawat ekoran disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

BACA LAGI: Nombor 77 untuk 7, Gergasi Merah puas jaringan 'siuuuu' bergema kecewakan Kedah

BACA LAGI: Sang Seladang tersungkur di gelanggang sendiri, Ifedayo wira PDRM

WhatsApp Image 2024-05-19 at 08.56.10

Jaringan tunggal pemain gantian, Aliff Haiqal menjaringkan gol dengan satu rembatan voli yang menewaskan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz. Facebook/MFL

Sebagai simbolik nombor jersi yang dipakai Faisal iaitu bernombor tujuh, sebaik aksi memasuki minit ketujuh, penyokong Gergasi Merah dan Sang Kenari berdiri sambil menepuk tangan.

Dalam babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan masih mencari rentak permainan untuk menghidupkan peluang keemasan namun gagal diterjemahkan sebaiknya oleh mereka.

Susulan aksi kurang cemerlang yang ditampilkan oleh KDA FC itu, ramai penyokong berasakan Sang Kenari bergelut dengan masalah dalaman kelab tersebut.

Bercakap mengenai prestasi Sang Kenari, pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar mendedahkan bahawa pasukan itu berdepan dengan masalah kewangan.

Daud Bakar berkata, dengan kewangan yang ada ketika ini, pasukan KDA FC dijangka bertahan kurang daripada dua bulan.

Ia susulan selepas penaja utama kelab KDA FC menarik diri daripada menaja pasukan berkenaan malah kurang sokongan daripada beberapa pelbagai pihak antara punca pasukan itu tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

"Jika tiada penaja utama dalam masa terdekat, ia akan menjadi sukar kepada KDA FC untuk meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.

"Ketika ini, kewangan yang ada sekarang boleh bertahan satu atau dua bulan sahaja," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Kedah merekodkan kemenangan 1-0 dalam aksi pertama ketika bertemu PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor dengan jaringan tunggal Syafiq Ahmad memastikan tiga mata penting buat pasukan yang berpangkalan di utara tanah air itu.

Selepas ini, Sang Kenari akan melayan kunjungan Perak FC dalam aksi ketiga Liga Super pada 24 Mei depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram