Selangor turunkan ramai pemain B-23, Nidzam Jamil pernah gilap Azri Ghani dan 2 bintang lain


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Azri pernah duduk di bawah Nidzam Jamil semasa mewakili Felda United pada 2019. — AFC

SELANGOR FC antara pasukan yang banyak menurunkan pemain berusia Bawah-23 Tahun (B-23) semasa perlawanan minggu kedua Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu lalu. (18 Mei) lalu.

Dalam perlawanan itu, Selangor FC berjaya mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri selepas menewaskan Kedah dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal pemain gantian, Aliff Haiqal Lau.

Aliff Haiqal yang masuk menggantikan Mukhairi Ajmal tidak mensia-siakan peluang terhidang dengan melakukan rembatan voli ke arah gawang gol Kedah selepas bola terkena lantunan pemain pertahanan lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Fazly Mazlan sebak, cium baju Faisal Halim sebelum lawan Kedah

BACA LAGI: Nombor 77 untuk 7, Gergasi Merah puas jaringan 'siuuuu' bergema kecewakan Kedah

Apa yang lebih menarik, jaringan pemain berjersi nombor 77 itu diraikan dengan sambutan 'siuuu' yang sudah sinonim dengan bintang Selangor, Muhd Faisal Halim sebagai tanda sokongan kepadanya selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Nidzam Jamil telah menurunkan tiga pemain B-23 dalam kesebelasan utama iaitu Mukhairi dan Nooa Laine manakala Syahir Bashah menjadi pemain gantian pada babak penghujung perlawanan.

Pengendali Selangor ternyata gembira dengan aksi yang ditampilkan oleh Mukhairi dan beberapa pemain muda lain dalam perlawanan tersebut.

Namun adakah anda tahu, Nidzam pernah menggilap tiga pemain muda lain yang sedang menyinar bersama kelab masing-masing.

Majoriti senaraikan tiga pemain muda yang pernah berada di bawah bimbingan Nidzam:

1. Muhd Danial Amier

Nama pemain ini pernah sunyi seketika selepas menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) akibat kurang mendapat minit permainan bersama Harimau Selatan selama beberapa musim di kelab itu.

Namun musim ini, Danial Amier sudah mula menunjukkan aksi 'maestro' yang lama dirindui penyokong tempatan walaupun baru menyertai Kuching City FC secara pinjaman daripada Harimau Selatan.

Dalam perlawanan Liga Super minggu kedua, Danial menjadi aset penting buat Aidil Shahrin untuk menggerakan jentera tengah The Cats ketika mengikat Sri Pahang FC.

Sebelum menyertai JDT, Danial antara pemain muda terbaik yang pernah dihasilkan Felda United, yang mana jurulatih ketika itu ialah Nidzam Jamil.

Nidzam berjaya menggilap bakat Danial sehingga dia terpilih dalam skuad muda negara untuk membawa cabaran Harimau Muda ke Piala Asia B-23 2018.

2. Muhd Syahmi Zamri

Siapa sangka bintang muda meningkat naik Terengganu FC, Muhd Syahmi Zamri pernah duduk di bawah bimbingan Nidzam Jamil semasa beliau mengendalikan Felda United dahulu.

Syahmi mula mendapat perhatian penyokong Terengganu pada musim lalu selepas dia menjaringkan gol pada minit-minit akhir perlawanan ketika menentang Bali United untuk mengutip satu mata dalam Piala AFC.

Bersama Felda, Syahmi tampil dalam sembilan perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol ketika menentang Kedah pada musim 2020.

Pemain berusia 24 tahun itu, sudah beraksi bersama tiga pasukan dalam Liga Malaysia iaitu Felda United, Petaling Jaya City dan Terengganu.

3. Muhd Azri Ghani

Sudah mewakili skuad kebangsaan di pelbagai peringkat umur, Muhd Azri Ghani antara prospek masa depan negara yang mempunyai sentuhan kejurulatihan daripada Nidzam Jamil.

Azri Ghani memulakan kariernya bersama Felda United pada musim 2018 dan 2019 sebelum berhijrah ke Kedah tahun berikutnya.

Mungkin Azri tidak begitu menyerlah di Felda United, namun hasil didikan Nidzam Jamil telah membuatkan pemain kelahiran Kelantan itu berjaya sehingga hari ini.

Pemai berusia 25 tahun itu turut menarik perhatian Kim Pan-gon untuk membariskannya dalam senarai 24 pemain akhir menentang Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram