HARAPAN penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC untuk menyaksikan pasukan masing-masing beraksi di pentas Asia musim depan tidak kesampaian.
Ini selepas pengumuman pada Selasa menyatakan kedua-dua kelab terbabit gagal memperolehi lesen daripada AFC untuk menyertai mana-mana pertandingan di peringkat konfederasi.
Perkhabaran itu sudah tentu memberi tamparan hebat terhadap pihak pengurusan memandangkan kejayaan berentap di pentas tertinggi dapat membawa suntikan dana menerusi hak penyiaran serta peruntukan daripada AFC sendiri.
BACA LAGI: Tarik diri pun tak selesaikan masalah kewangan KDA FC
BACA LAGI: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024
Hanya tujuh kelab dilaporkan berjaya memohon lesen AFC. — Facebook/Malayantigerfans
Selain itu, peluang berkenaan dapat meningkatkan lagi reputasi KDA FC dan Sri Pahang FC yang pernah menikmati kejayaan tersendiri dalam saingan Piala AFC bertahun-tahun dahulu.
Bagaimanapun, penyokong dua kelab Liga Super itu seakan-akan tidak terkilan akan perkhabaran berkenaan dengan mereka seperti sudah mengetahui hal tersebut lebih awal.
Berdasarkan respons diberikan di laman media sosial, rata-rata daripada pengikut setia skuad Sang Kenari dan Tok Gajah beranggapan kegagalan demikian tidak perlu dipandang serius.
"Pahang tidak mahu ambil lesen. Kalau layak, barulah kita berusaha dengan peluang itu, tetapi kalau tidak layak, buat habis duit sahaja. Tidak mohon pun tidak mengapa, dapat juga bermain," kata Zafran Zahra.
"Pahang tak perlukan AFC, tetapi AFC yang perlukan Pahang. Merajuk dari dahulu tidak habis lagi sehingga hari ini," kata Muizzuddin Ahmal.
"Untuk tahun ni, Kedah tidak lulus pun tidak mengapa kerana bajet pasukan tidak mencukupi. Itu pun, jangan tak dapat bertahan hingga setengah musim," ujar Sobri Suriani.
Berdasarkan senarai dikeluarkan, hanya tujuh kelab Liga Super memperoleh lesen iaitu Johor Darul Ta'zim, Selangor FC, Kuala Lumpur (KL) City FC, Penang FC, Perak FC, Sabah FC dan Terengganu FC.
PDRM FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Kuching City FC pula dikhabarkan tidak memohon lesen tersebut, sekali gus menghalang mereka beraksi dalam mana-mana pertandingan di bawah kelolaan AFC.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Sang Kenari beraksi di pentas Asia adalah dalam saingan Piala AFC 2022 sementara skuad Tok Gajah beraksi dalam pertandingan itu adalah pada sembilan tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram