Assifuah lebih pentingkan main untuk Kedah, gelaran Kasut Emas kemudian


  • Podium
  • Khamis, 23 Mei 2024

Assifuah (kiri) ketika sesi latihan dalaman menentang pasukan Majlis Bandaraya Alor Setar sebagai persiapan menentang Perak pada Jumaat. — Facebook/KDAFC

KEHADIRAN pemain import kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah ke bumi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada waktu-waktu tarikh jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) diibaratkan seperti kepingan puzzle yang hilang dan kembali memperkasakan Hijau Kuning.

Nama Assifuah bukan lagi suatu yang asing dalam bola sepak pasukan Sang Kenari apabila sebelum ini dia mewakili KDA B untuk saingan Piala MFL musim 2023 dan akhirnya berhasil menambat hati barisan kejurulatihan skuad utama untuk merekrutnya.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, pemain dengan gelaran 'Energizer' dalam kalangan penyokong Hijau Kuning itu menerima tawaran daripada Kedah selepas rundingan diadakan dalam tempoh 48 jam.

BACA LAGI: Isu naik bas ke Selayang dijawab KDA FC, kongsi 'Energizer' akan tiba lepas selesaikan perkara lain

BACA LAGI: Kembali ke pangkuan Sang Kenari, Assifuah mampu jadi 'last piece' buat Kedah berbanding Milos

Rundingan berkenaan dijangka membawa pulangan lumayan buat Kedah apabila Assifuah dilihat sudah bersedia memberi sepenuh raganya untuk pasukan Hijau Kuning pada musim 2024/2025 ini.

Assifuah berharap mempunyai musim yang baik bersama pasukan Utara tanah air berkenaan agar boleh mencapai keputusan positif dengan dia akan memastikan untuk mengikut perancangan pengendali, Nafuzi Zain.

"Saya harap musim baharu bersama Kedah ini akan berjalan lancar untuk saya dan pasukan saja. Harapnya perancangan pasukan pun akan dibuat mengikut pelan yang sudah direncanakan oleh kelab.

"Bagi saya, Nafuzi adalah jurulatih saya dan semestinya saya akan cuba mengikut taktikal yang diberikan," katanya kepada Majoriti.

puji

Assifuah percaya dengan taktikal yang digunakan Nafuzi (kanan). — Facebook/KDAFC

Bercakap mengenai sasaran peribadi untuk mendapatkan Anugerah Kasut Emas bagi Liga Super, bekas pemain yang pernah beraksi buat kelab FC Sion itu enggan memikirnya lagi dan fokusnya kini hanya untuk membantu Kedah.

Untuk rekod, musim pertama Assifuah bersama pasukan simpanan Kedah jelas sangat positif apabila dia berjaya merangkul gelaran Penjaring Terbanyak Piala MFL dengan rekod 16 gol secara keseluruhan.

"Untuk pertamanya, saya akan mendahulukan pasukan dahulu sebab perkara itu sangat penting untuk memberi kerjasama yang baik sebagai satu pasukan. Jadi sasaran peribadi untuk mendapatkan kasut emas, saya letak tepi dahulu," kongsinya.

Assifuah direkrut ke pasukan senior pasukan Hijau Kuning untuk beraksi sebagai pemain sokongan kepada penyerang utama kelab itu Syafiq Ahmad dan penyerang import dari Serbia, Milos Gordic.

gordic

Gordic (kiri) masih berstatus sebagai penyerang import pertama Kedah. — Facebook/KDAFC

Pemain berketinggian 1.76 meter berkenaan memiliki pengalaman yang sangat luas di Eropah bersama beberapa siri kejayaan turut ditempa bersama Ghana seperti membantu negaranya meraih gelaran ketiga terbaik untuk saingan Piala Dunia B-20 pada 2013.

Pada tahun berkenaan juga merupakan rekod peribadi terbaiknya apabila muncul penjaring terbanyak dengan enam gol pada kejohanan Piala Dunia B-20 berkenaan.

Selepas terlepas dua aksi Liga Super, ramai penyokong menunggu untuk melihat Nafuzi mempertaruhkan Assifuah sebagai penyerang utama dalam aksi menentang Perak FC pada Jumaat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram