Ofsaid Manuel Ott kecewakan Sang Penyu, Terengganu dan Penang kongsi mata


  • Podium
  • Ahad, 19 Mei 2024

Akhyar beberapa kali dikasari pemain lawan dalam aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad. — Facebook/ Terengganu FC

PEMAIN import Terengganu FC (TFC), Manuel Ott kecewa apabila jaringan sulungnya diputuskan ofsaid oleh pengadil dalam aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.

Perlawanan kedua Liga Super itu bermula agak seimbang apabila kedua-kedua pasukan hampir membuka jaringan dengan masing-masing membuat serangan bertali arus untuk meletakkan pasukan mereka di hadapan.

Terengganu hampir mendapatkan gol pertama menerusi arkitek kelahiran Filipina, Manuel Ott namun usaha berkenaan dinafikan oleh penjaga garisan apabila mereka mengesan jaringan berkenaan sebagai ofsaid.

BACA LAGI: Teka-teki pemain import TFC II akan diketahui

BACA LAGI: Terengganu FC enggan 'gelojoh', ambil pendirian realistik

WhatsApp Image 2024-05-19 at 21.24.10

Jaringan sulung Manuel Ott diputuskan ofsaid oleh pengadil. — Facebook/ Terengganu FC

Gol hasil bantuan hantaran daripada Safawi Rasid itu dikira ofsaid memandangkan kedudukannya yang melebihi pemain lawan menyebabkan pembantu pengadil mengangkat bendera tanpa perlu menyemak Video Pembantu Pengadil (VAR).

Keputusan itu menyaksikan skuad Sang Penyu terikat 0-0 dengan Penang FC sehingga tamat separuh masa pertama.

Perlawanan juga bertambah kontroversi apabila pemain Penang FC dilihat cuba mengasari Akhyar Rashid beberapa kali dan salah satunya apabila bahagian kepala penyerang sayap kebangsaan itu disentuh dengan agak agresif pada minit ke-18.

Akhyar sebelum ini cedera di kepala dalam insiden samun di Kuala Terengganu, Terengganu pada 2 Mei lalu, selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25.

WhatsApp Image 2024-05-19 at 22.23.48

Keputusan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa kedua. — Facebook/Penang FC

Bersambung di babak kedua, kedua-dua pasukan saling memberikan saingan sengit ke arah gawang masing-masing namun gagal diterjemahkan ke dalam bentuk gol.

Anak buah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli terus menggandakan serangan hampir berjaya meletakkan tuan rumah di depan tetapi jaringan Mohammad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-68 pula dibatalkan pengadil selepas semakan dibuat menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Cubaan pada minit akhir Penang FC untuk mendapatkan gol juga gagal apabila bola dapat ditampan kemas oleh penjaga gol TFC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Keputusan kekal seri 0-0 hingga tamat perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan hanya berpuas hati dengan satu mata.

Terengganu menduduki tangga kedua carta liga di belakang Johor, manakala Penang di tangga kesembilan dengan kutipan dua mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram