PASUKAN Terengganu FC ll (TFC ll) sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama yang akan membarisi skuadnya musim ini.
Perkara tersebut didedahkan penolong jurulatih, Rosdi Talib yang setakat ini berpuas hati dengan komitmen serta prestasi para pemain yang 50 peratus daripadanya terdiri daripada muka baharu.
Namun, di sebalik perkembangan positif tersebut, terselit kerisauan di hati pengendali baharu itu disebabkan 'teka teki' pemain import yang akan bersama dengan skuad The Turtles musim ini.
"Mengenai skuad utama TFC ll, dah ada sedikit bayangan daripada sesi latihan dan juga beberapa siri perlawanan persahabatan yang kita jalankan termasuk dengan beberapa pasukan Liga Super.
"Untuk pemain import kita kena tunggu keputusan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) yang akan tentukan siapa bermain dengan skuad mereka, dan siapa yang akan turun ke skuad TFC ll," katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu antara TFC ll dengan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada Rabu.
TFC ll yang menduduki tangga ketiga Liga Premier musim lepas muncul juara piala tersebut setelah menewaskan pasukan Liga Super, Penang FC dengan 3-0, sekali gus meraih hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Kemenangan 3-0 diberikan pengadil kepada TFC ll selepas pasukan Penang FC menarik diri daripada meneruskan perlawanan pada babak kedua susulan insiden pergaduhan yang tercetus pada akhir babak pertama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya amat kesal dengan insiden yang berlaku malam tadi dan menyerahkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tindakan susulan.
"Insiden ini sememangnya amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku atas semangat kesukanan.
"Tetapi kita (kerajaan negeri) tidak akan patah semangat dan akan tetap meneruskan penganjuran Piala Menteri Besar pada tahun hadapan dan seterusnya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram