Manuel Ott sudah tidak macam dulu, Nik Sharif disebut-sebut pengganti ideal


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Ott (tengah) kembali menyarung jersi Terengganu selepas semusim berbakti bersama Kedah pada tahun lalu. — Facebook/TFC

PEMAIN import Filipina, Manuel Gelito Ott pulang semula ke Terengganu FC selepas setahun beraksi di bumi Darul Aman selepas mengikut jejak langkah bekas pengendali Sang Penyu, Mohd Nafuzi Zain untuk menyempurnakan taktikal 'Nafuzi Ball' sebagai arkitek utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim lalu.

Namun bezanya kali ini, tonggak utama pasukan kebangsaan Filipina itu gagal mengulangi kejayaan seperti yang diraihnya ketika bersama TFC sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, Ott juga dilihat gagal membantu Kedah berada di tempat kedudukan dua terbaik liga untuk layak ke pentas Asia musim ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya Terengganu FC berjaya calar rekod bersih juara Piala AFC

BACA LAGI: Steenvoorden masih belum 'solid', fans TFC desak rekrut bekas import Sang Penyu

Ditambah dengan isu tunggakan gaji yang dialami Kedah musim lalu, sedikit sebanyak telah memberikan kesan besar kepada motivasi Ott untuk terus kekal beraksi cemerlang bersama Sang Kenari musim ini.

Disebabkan itu, Ott mengambil keputusan untuk bergabung bersama Tomislav Steinbruckner musim ini memandangkan Sang Penyu telah melepaskan dua pemain utama mereka Habib Haroon (Bahrain) dan Sony Norde (Haiti) ke Sang Kenari bagi melakukan pensturukturan semula kedudukan kewangan pasukan.

Kepulangan Ott pada awalnya telah disambut baik oleh seluruh penyokong Terengganu selepas mengimbas kembali gadingan berbisanya bersama Muhd Faisal Halim serta tendangan padu luar kotak penalti yang memukau seluruh mata-mata di dalam stadium.

Namun sangkaan meleret buat Ott, apabila penyokong berpendapat dia bermain dengan sangat teruk dalam perlawanan pembukaan Liga Super walaupun TFC berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu lalu.

Antara penjaring yang berjaya menjaringkan gol buat Terengganu ialah Nurillo Tukhtasinov, Shivan Pillay (jaringan sendiri) dan Nnabuike Chukwu Chijioke.

Manakala Perak pula, kapten pasukan, Luciano Guaycochea menjaringkan gol tunggal menerusi sepakan penalti selepas pemain import Korea Selatan, Lee Tae-min dijatuhkan oleh Ott di hadapan pengadil perlawanan.

Terengganu FC

Kesebelasan utama TFC ketika menewaskan Perak 3-1 pada Sabtu lalu. Facebook/TFC

Selepas perlawanan beberapa pemain lain menjadi sasaran lemparan komen negatif daripada penyokong dan salah seorangnya Ott yang dulu disanjung sebagai wira oleh pemain ke-12 Sang Penyu.

Malahan ada komen yang mahu pemain berusia 32 tahun itu segera ditukarkan pihak pengurusan menjelang jendela perpindahan kedua nanti dengan membawa masuk bintang baharu.

"Tak berbaloi ambil Ott sebagai import, sedap (baik) pemain tempatan lagi," kata Shidan Hilmi.

"Dah bagitahu awal-awal Akhram (Mahinan), Akinade (Ismahil) dan Ott itu membazir 'sign', dah boleh cari pengganti mereka itu main teruk," jelas Joey Azizul.

"Sedih tengok kesilapan Ott, lambat passing (hantar), hilang bola selepas itu tolak pemain lawan di kawasan kotak penalti, sedangkan dua orang defender (pertahanan) ada di depan pemain Perak yang bawa bola," luah Mohd Shukrie.

"Manuel Ott dah tak macam dulu, mungkin faktor umur prestasi tak sama macam sebelum pergi Kedah," ujar Muda Primula.

Penyokong turut menggesa agar pengendali dari Croatia, Tomislav kerap menurunkan bekas pemain Selangor FC, Nik Sharif Haseefy selepas dia sering memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan sebagai pemain gantian.

Bermain dalam fikiran penyokong adakah Ott sudah mengalami penurunan prestasi akibat faktor umur yang saban tahun semakin berusia?

Ott tahun ini berusia 32 tahun dengan pengalaman selama empat tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama tiga pasukan yang berbeza iaitu Melaka United, Kedah dan Terengganu.

Sepanjang empat musim dalam Liga M, Ott pernah membantu TFC beraksi dalam pentas akhir Piala FA 2022 sebelum tewas ditangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 1-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2022.

Adakah Ott akan kembali ke prestasi sebenarnya atau digantikan dengan pemain tempatan lain memandangkan ini baru pertama kali dia duduk di bawah Tomislav? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram