Legenda Terengganu yakin kelab sudah ada calon gantikan Nafuzi


  • Podium
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Nafuzi berjaya membantu TFC melangkah ke saingan Piala AFC musim depan selepas menduduki tempat kedua dalam Liga Super 2022. — Facebook/TFC

JAWAPAN kepada tawaran kontrak lanjutan Ketua Jurulatih Terengganu (TFC) Mohd Nafuzi Mohd Zain pastinya menghampakan penyokong skuad Penyu yang sentiasa mengharapkan untuk melihat sentuhan pengendali muda itu pada musim depan.

Selepas segala konflik yang berlaku antara Nafuzi Zain dan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut, Ab Rasid Jusoh mengesahkan pengendali pasukan berkenaan sudah menolak tawaran lanjutan kontrak.

Nafuzi Zain yang cukup terkenal dengan corak permainan ‘Nafuzi Ball’ membuatkan Terengganu mempunyai identiti sendiri apabila berjumpa pihak lawan dan perkara itu juga menyebabkan skuad Penyu menjadi antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia.

Jika pasukan Terengganu berjaya ke peringkat final Piala Malaysia dengan berbaki lagi dua perlawanan, ia akan menjadi saat-saat terakhir buat jurulatih muda itu memberi sehabis baik.

Susulan kata putus pengendali kelahiran Kelantan itu, timbul persoalan mengenai siapakah individu yang layak mengemudi pasukan berkenaan dan mengekalkan kecemerlangan Nafuzi Zain.

Antara nama disebut-sebut sesuai untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan bekas pemain Kedah itu adalah pengarah teknikal TFC, Tomislav Steinbruckner dan penolong jurulatih Terengganu, Hairuddin Omar.

Screenshot 2022-11-18 at 3.15.20 PM

Pada 2011, Irfan Bakti berjaya membawa TFC merangkul kejuaraan Piala FA. — Facebook/TFC

Tampil mengulas mengenai calon sesuai mengemudi Terengganu ialah jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurut Irfan yang pernah memegang jawatan pengendali skuad Sang Penyu sebanyak dua kali, iaitu dari 2009 hingga 2011 serta dari 2017 hingga 2019 itu berkata, Tomislav boleh menjadi calon sesuai kerana keserasiannya bersama TFC.

Bagaimanapun, pengendali Kuching City itu menegaskan jika jurulatih baharu sudah dilantik, pihak tertentu tidak boleh mengharapkan impak positif yang segera.

HAI-O

Hairuddin menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan TFC pada musim ini. — Facebook/TFC

Jika dibandingkan dengan Hairuddin, Tomislav mempunyai pengalaman yang cukup lama bersama Terengganu kerana sebelum memegang jawatan sebagai pengarah teknikal, dia merupakan Ketua Jurulatih bagi pasukan T-Team FC pada 2015.

Manakala, bekas penyerang kebangsaan itu pula, mula memperkasa kem kejurulatihan TFC pada Disember tahun lalu.

“Pasal tak cuba lagi jadi kita tak tahu berkesan atau tidak. Tomi (Tomislav) itu dah biasa dengan Terengganu. Dah empat ke lima tahun dulu dia pernah duduk dengan Terengganu.

“Kita tak boleh pastikan sama ada TFC boleh kekalkan prestasi, musim pun belum bermula lagi. Kita tak boleh jangka begitu,” katanya kepada Majoriti.

TOMI TFC

Tomislav diangkat menjadi pengarah teknikal TFC pada awal tahun ini. — Facebook/TFC

Dalam pada itu, bercakap mengenai sama ada penghijrahan Nafuzi Zain ke kelab lain akan memberi kesan kepada TFC, Irfan Bakti optimis pihak pengurusan sudah mempunyai rancangan untuk mencari pengganti.

Baginya, perkara itu tidak memberi kesan kepada pengurusan TFC kerana penghijrahan jurulatih dalam bola sepak sudah menjadi lumrah.

“Kesan itu saya tidak tahulah tapi dia dah buat keputusan nak berhijrah. Saya rasa memang dia dah berfikiran panjang. Mungkin yang terbaik untuk diri dia. Jadi saya rasa normal dalam bola ada pertukaran.

“Saya rasa tidak juga beri kesan kepada TFC kerana mungkin pihak pengurusan Terengganu sudah fikir panjang siapa yang nak dilantik tahun depan.

“Cumanya Nafuzi sudah buat keputusan awal semasa pasukan sedang bertanding, ia seperti mencacatkan pasukan,” jelasnya.

Selain itu, bekas jurulatih Felda United itu juga berkata, selepas keputusan yang dibuat itu kemungkinan untuk anak didik Nafuzi Zain mengikut jejak langkahnya juga boleh berlaku.

FAISAL HALIM

Faisal disebut antara pemain yang bakal mengikuti jejak langkah Nafuzi Zain. — Facebook/TFC

“Jurulatih sudah tentu dia inginkan pemain-pemain yang sesuai bermain dengan corak permainan dia.

“Soal siapa dia nak bawa itu saya rasa terserah kepada Nafuzi, sudah tentu pemain yang selesa dengan dia akan ikut Nafuzi. Jadi tunggu musim baru,” ujarnya.

Sebelum ini banyak khabar angin bahawa penghijrahan Nafuzi ke kelab lain akan mempengaruhi keputusan beberapa pemain lain sama ada kekal atau tidak bersama Terengganu.

Antara pemain yang disebut-sebut akan mengikut Nafuzi Zain ialah pemain sayap TFC, Faisal Halim, penjaga gol muda, Muhammad Rahadiazli Rahalim dan arkitek tengah, Manuel Gelito Ott. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram