Kelebihan berganda Brendan Gan, Lee Tuck jika sarung jersi Kedah FC musim depan


  • Podium
  • Rabu, 14 Dis 2022

Brendan dan Lee Tuck memberi kelebihan berganda kepada Kedah FC sekiranya diserap masuk ke skuad Sang kenari.

KEGEMBIRAAN menyelubungi kem Kedah Darul Aman FC apabila saban hari disajikan dengan muka-muka baharu skuad Sang Kenari musim depan.

Dengan menggunakan tagline New Blood, Sang Kenari memulakan 'mukadimah' kepada skuad 2023 mereka dengan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh legenda double treble, Nafuzi Zain.

Kemudiaan diteruskan dengan pengenalan barisan pemain iaitu Kalamullah Al-Hafiz (penjaga gol), Amirbek Juraboev (posisi tengah), Mohammad Fikri Che Soh (penjaga gol) dan Manuel Gelito Ott (posisi tengah) setakat Selasa.

Ini membuktikan Kedah serius dengan revolusi yang mahu dicapai selepas mengalami musim terburuk dengan kekalahan berturut-turut pada penghujung kempen Liga Malaysia 2022.

Tidak terhenti di situ, penyokong skuad Hijau Kuning dikhabarkan perlu mula menyimpan duit sebagai persiapan untuk ke final perlawanan Liga Malaysia musim depan kerana dua lagi pemain 'hangat di pasaran' akan menyertai pasukan mereka.

Salah seorang pemain merupakan kapten kesayangan Selangor FC dan Harimau Malaya, Brendan Gan yang sebelum ini menjadi buah mulut setelah dikaitkan dengan baju No.7 milik Baddrol Bakhtiar.

Manakala seorang lagi merupakan pemain naturalisasi Sri Pahang FC, Lee Tuck yang baru sahaja membuat debut bersama Harimau Malaya pada perlawanan menentang Kemboja, Jumaat lalu.

Berikut merupakan kelebihan kedua-dua pemain kebangsaan ini sekirannya digandingkan bersama di atas padang bumi jelapang padi pada musim depan.

Brendan sering diberi kepercayaan untuk memakai lilitan lengan tidak kira di peringkat kebangsaan atau kelab. —AP

1. Brendan Gan

Pemain pertahanan berusia 34 tahun ini bakal menjadi aset terbaik Kedah jika digandingkan di bahagian tengah bertahan bersama Manuel dan Amirbek.

Berdarah kacukan Australia-Malaysia, Brendan bukan sahaja seorang kapten yang dihormati pemain-pemain muda, malah dia membantu Selangor FC dinobatkan sebagai naib johan Piala Malaysia 2022.

Dalam 16 penampilan Liga Super musim ini, Brendan berjaya menyumbang lima gol sekali gus membantu meletakkan Selangor FC di tempat kelima liga.

Brendan juga sangat disegani oleh pemain-pemain Harimau Malaya dan sering kali diundi oleh penyokong bola sepak tempatan supaya terus dijadikan kapten dalam setiap misi negara.

Dengan kelebihan ini, Kedah memiliki prospek seorang pemimpin dalam kumpulan yang akan membantu mengharmonikan lagi pasukan mereka.

Lee Tuck memikat hati penyokong bola sepak tempatan dengan kesungguhannya pada debutnya bersama Harimau Malaya.— FAM

2. Lee Tuck

Sri Pahang FC menerima kecaman hebat apabila menaturalisasi Lee Tuck kerana usianya yang sudah mencecah 34 tahun, namun semua itu ditepis pemain berdarah England dengan memberikan persembahan bertenaga dalam setiap penampilannya.

Dalam dua penampilannya bersama Sri Pahang di Piala Malaysia setelah direhatkan sepanjang proses naturalisasi dijalankan, Lee Tuck sempat menyumbang satu gol dan satu bantuan gol buat skuad Tok Gajah.

Pemain berketinggian 1.75 meter itu turut disayangi oleh penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan selepas dia sentiasa memberikan segalanya di atas padang ketika berkhidmat bersama pasukan mereka.

Pengalaman Lee Tuck di liga tempatan memudahkan Kedah FC yang tidak perlu menunggu pemain ini untuk 'panas' sebelum mula menjaringkan gol.

Selain itu, status naturalisasi Lee Tuck merupakan bonus buat Kedah FC kerana tidak akan menganggu kuota pemain import pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram