‘Saya tahu kemampuan pemain Kedah’, Nafuzi syukur pertukaran sub berjaya jerat TFC


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Nafuzi berharap pemainnya dapat menunjukkan aksi yang lebih baik pada pertemuan bertemu PDRM pada Sabtu. — Facebook/KDA FC

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Nafuzi Mahammad Zain mengakui masih banyak yang perlu dilakukan bagi memantapkan pasukannya walaupun dua kemenangan berturut-turut diraih dalam saingan Liga Super musim ini.

Nafuzi berkata, kesungguhan pemain dan rentak permainan pasukan semasa menentang Terengganu FC pada Rabu dan Perak FC pada Sabtu lepas masih tidak konsisten selain terdapat kelemahan posisi khususnya di bahagian tengah.

"Alhamdulillah, untuk tiga mata ini adalah penting walaupun ia permainan yang sukar. Kita nampak Terengganu bermain dengan baik, dan ada ketika saya nampak kita main bagus.

"Kita dari awal agak perlahan, kita tidak memberi tekanan kepada Terengganu, tetapi saya yakin pasukan mampu bermain lebih baik, saya tahu kemampuan pemain saya" katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC menewaskan Terengganu FC 1-0 di Stadium Darul Aman, Kedah pada Rabu

Gol tunggal itu terhasil menerusi pemain Fadzrul Daniel selepas dibawa masuk menggantikan kapten pasukan, Manuel Gelito Ott pada babak akhir perlawanan.

"Terengganu lebih menguasai permainan dan lebih banyak peluang tapi Alhamdulillah pertukaran pemain kita yang merubah situasi malam ini," kata Mohd Nafuzi.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi berharap pemainnya dapat menunjukkan aksi yang lebih baik pada pertemuan bertemu PDRM Sabtu ini dengan banyak melakukan tekanan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan serangan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC Tomislav Steinbruckner berharap pemainnya mampu bangkit pada perlawanan seterusnya bagi menaikkan semula semangat dan moral pasukan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram