Terengganu FC enggan 'gelojoh', ambil pendirian realistik


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

Terengganu tidak mahu belanja berlebihan hingga bocorkan kantung kelab. — Terengganu FC

PERSIAPAN berjalan lancar buat kelab Liga Super, Terengganu FC bagi menghadapi musim baharu Liga Super.

Namun begitu, persiapan bagi naib juara Piala Malaysia 2023 itu tidak akan menyaksikan kouta pemain import akan dipenuhkan pengurusan kelab.

Sebaliknya, Terengganu akan kekal menggunakan enam pemain import sahaja dengan beberapa nama dikekalkan disamping membawa muka baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu, Sabri Abas, kelabnya tidak akan memenuhkan kouta tenaga import yang dibenarkan oleh Malaysian Football League (MFL) iaitu sebanyak 10 pemain.

"Buat masa sekarang, kami akan meneruskan penggunaan enam pemain import untuk bersaing dalam saingan liga walaupun MFL membenarkan penggunaan 10 pemain import dengan enam pemain diturunkan serentak.

"Akan tetapi, ia mungkin akan berubah jika kami memperoleh dana tambahan di masa akan datang. Mungkin kami akan menaikkan jumlah pemain import di dalam skuad, tetapi buat masa sekarang kami kekal kepada enam sahaja.

"Perbuatan ini adalah untuk menjimatkan kos untuk memastikan kelab tidak ada masalah kewangan, terutamanya dari segi pembayaran gaji," kata Sabri.

BACA LAGI: [VIDEO] Tanpa disangka, 'banter' bilik persalinan Selangor jadi motivasi bintang Jordan mara ke final Piala Asia

412235034_347310258010415_8778170856648733418_n (1)

Nurillo Tukhtasinov (kiri) antara pemain import Terengganu yang dikekalkan musim ini. — Terengganu FC

BACA LAGI: Piala Asia: Korea yang tiada haluan, ditunjuk pintu keluar dengan keaiban

Selain daripada menjimatkan kos, tindakan Terengganu itu bagi memastikan kelab sentiasa memberikan peluang kepada bakat muda tempatan untuk menyerlah.

Tindakan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Terengganu berjaya menghasilkan pertahanan berkualiti tinggi seperti Ubaidullah Shamsul, Shahrul Nizam dan Safwan Mazlan.

Malah, skuad Piala MFL Terengganu juga menunjukkan taring apabila menjadi juara sulung kejohanan tersebut musim lepas.

Tindakan diambil Terengganu haruslah dipuji kerana selain menyelamatkan kantung kelab, tetapi mereka meneruskan misi penting terus menghasilkan bakat tempatan untuk kebaikan bola sepak negara.

Terengganu membuktikan yang mereka ukur baju di badan sendiri dalam urusan kewangan kelab.

Buat masa sekarang, Terengganu mengekalkan khidmat pemain import iaitu Ivan Mamut, Nurillo Tukhtasinov dan Argzim Redzovic.

Selain itu, penyerang Ismahil Akinade serta bekas pemain skuad Penyu, Sanjar Shaakhmedov turut disebut-sebut akan melakukan kepulangan semula ke Terengganu. — THE STAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram