BINTANG kebangsaan negara, Faisal Halim akan menjalani pembedahan buat kali keempat dan kemungkinan buat kali yang terakhir minggu depan susulan serangan asid dialaminya.
Ketua perubatan sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, prosedur itu akan melibatkan pengambilan kulit lain di bahagian badan Faisal dan ditampal pada tempat lecuran akibat simbahan asid tersebut.
Menurutnya, ia juga mungkin akan menjadi pembedahan terakhir yang akan dilalui Faisal sekiranya pembedahan keempat itu berjalan lancar.
BACA LAGI: Nidzam Jamil masih berbelah bahagi, pertaruhkan Mukhairi atau Reziq Bani ganti Faisal Halim
BACA LAGI: 'Siap request nasi kandar', Faisal Halim makin stabil, dipindah ke wad biasa
Faisal mengalami serangan asid oleh dua individu tidak dikenali minggu lalu.
"Semua proses rawatan Faisal mengikut rancangan. Dari segi tempoh, kita kena tengok perkembangan klinikal dan prosedur seterusnya minggu hadapan melibatkan 'split skin graft' itu jika tiada apa-apa halangan.
"Kulit yang akan diambil itu bergantung kepada pemeriksaan pakar bedah nanti. Banyak perkara perlu diambil kira terutama kawasan kulit mana yang sesuai dan sebagainya.
"Namun, kalau tengok dari segi prosedur kemungkinan akan diambil daripada bahagian paha. Tetapi, untuk bahagian teknikal ini kita biarkan pakar buat keputusan," katanya.
Faisal yang mengalami kelecuran tahap empat di beberapa anggota badannya selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali melalui tiga pembedahan termasuk prosedur 'skin allograft' menggunakan kulit dari Belgium.
Dalam pada itu, Muhammad Hazwan turut menyifatkan perkembangan rawatan Faisal sangat memberangsangkan dan pihak kelab gembira dengan keadaan itu.
"Sepanjang minggu ini kita dapat tengok bahawa perkembangan Faisal sangat memberangsangkan. Kadar penyembuhan tu, Alhamdulillah dari segi pihak pakar dan pihak kelab sangat gembira," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram