'Siap request nasi kandar', Faisal Halim makin stabil, dipindah ke wad biasa


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Keadaan pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid pada 5 Mei lalu. — The Star

PEMAIN bola sepak negara, Faisal Halim kini dalam keadaan stabil selepas menjalani tiga kali pembedahan pada 9 Mei lalu.

Bintang Selangor FC (SFC) itu juga menunjukkan perkembangan positif dan memiliki selera makan apabila mengidam mahu menikmati nasi kandar.

Menerusi video sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang dikongsikan Astro Arena di Twitter (X) pada Selasa, Faisal juga sudah dipindahkan ke wad biasa daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) namun masih tidak membenarkan sebarang lawatan dari mana-mana pihak setakat ini.

BACA LAGI: Lepas 4 hari pembedahan, kulit dari Belgium sesuai untuk Faisal Halim

BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah

Screenshot (1571)

Tangkap layar video memaparkan Shahril memberitahu tentang perkembangan Faisal pada Selasa. — Twitter/Astro Arena

Dalam video itu, Shahril memaklumkan, mereka berdua sentiasa berhubung melalui mesej nota suara voice note.

"Saya menerima pesanan suara daripada Faisal. Setiap hari, saya dapat mendengar suaranya bertambah baik.

"Mengenai selera makan, dia juga memberitahu sudah teringin untuk makan nasi kandar. Jadi saya melihat ia sebagai satu perkara yang positif," katanya.

Terdahulu, Faisal turut menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani proses rawatan alograf kulit atau skin allograft yang dijalankan dilihat sesuai selain tiada jangkitan kuman terhadap pemain tersebut.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair sebelum ini ada menjelaskan bahawa rawatan dari Belgium bernilai RM30,000 itu dijangka membantu mempercepat pemulihan pemain sayap kebangsaan itu.

Skin allograft juga dianggap sebagai standard tertinggi untuk merawat luka kebakaran kepada pesakit yang tidak memiliki kulit yang cukup untuk menutup luka terbakar di badan.

Pada 5 Mei lalu, Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Susulan kejadian itu, Mickey mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan itu dan baju yang dipakainya turut kelihatan cair akibat kesan bahan berbahaya tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram