INSIDEN simbah asid menimpa tonggak Selangor FC, Faisal Halim boleh menjadi peringatan kepada semua kelab untuk mula menjalankan tanggungjawab dalam memberi lindungan keselamatan kepada para pemain mereka.
Nasihat tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim yang menggambarkan kejadian malang menimpa Faisal itu sebagai peringatan kepada semua kelab dan persatuan sukan tanah air untuk mencarum PERKESO.
Adam Adli berkata, atlet yang bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) juga sudah berdaftar dengan PERKESO sebagai alternatif jaringan keselamatan mereka.
BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO
BACA LAGI: Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO
“Kita tak nak ambil iktibar dari perkara berbentuk musibah tapi itu sebagai peringatan yang baik untuk memberi perlindungan kepada atlet. Termasuk untuk semua sukan. Kita sangat menitikberatkan perlindungan sosial.
“Di bidang sukan risiko tinggi sama ada atas padang atau atas trek atau di luar padang dan di luar arena. Kita mahu semua dapat perlindungan setimpal dengan risiko yang dihadapi para atlet.
“Sebab itu, di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), kita sudah jadikan ia sebagai dasar. Atlet dibawah MSN berdaftar di bawah PERKESO,” katanya di Putrajaya pada Rabu.
Adam Adli ditemui selepas majlis 'Flag-Off’ dan Sidang Media Kayuhan Solo Mengelilingi Semenanjung Malaysia Bagi Latihan Pertama Ice Storm Russia Expedition 2025 di Menara KBS pada Rabu.
Tambah Adam Adli, KBS juga memainkan peranan dengan menggalakkan setiap persatuan termasuk kelab bola sepak untuk menjalankan tanggungjawab mencarum dengan organisasi tersebut.
Adam Adli ketika selepas majlis 'Flag-Off’ dan Sidang Media Kayuhan Solo Mengelilingi Semenanjung Malaysia Bagi Latihan Pertama Ice Storm Russia Expedition 2025 di Menara KBS pada Rabu.
“Di bawah persatuan kita memang galakkan. Setiap kali ada perjumpaan dengan persatuan, kita sentiasa jemput pihak PERKESO untuk hadir sama beri penerangan mengenai skim-skim yang dapat dinikmati para atlet.
“Harap lebih ramai atlet jadi pencarum dan persatuan sukan mainkan peranan untuk menggalakkan pemain bernaung di bawah mereka untuk mencarum,” tambahnya.
Adam Adli mengulas sedemikian bagi menjawab sikap sebanyak 15 kelab liga domestik yang dikesan tidak mendaftar dengan PERKESO, sekaligus kebajikan pemain dan kakitangan terabai.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa sebanyak 15 pasukan dalam senarai tidak berdaftar dengan PERKESO terdiri daripada sembilan kelab amatur, lima skuad saingan Liga A1 Semi Pro (M3) dan sebuah pasukan dari kejohanan Piala MFL.
Selain itu, rekod PERKESO turut menunjukkan kebanyakan daripada 31 kelab atau persatuan yang bermain dalam Liga Super, Liga Perdana dan saingan Liga A1 Semi Pro tidak mencarum secara teratur kepada agensi keselamatan sosial berkenaan.
Data yang dikeluarkan PERKESO melibatkan 2,820 pemain atau pekerja tempatan dan 258 pemain atau pekerja asing daripada 31 kelab yang pernah mendaftar dan mencarum dengan organisasi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram