Sudah keluar ICU belum tentu keluar hospital, semangat famili Faisal Halim cukup kuat — Adam Adli


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Faisal (kanan) bersama ayahnya ketika pemain itu menghadiahkan sebuah kereta baharu pada tahun lepas.

PENYERANG sayap kebangsaan, Faisal Halim masih memerlukan rawatan rapi dari pihak hospital walaupun pemain itu kini sudah dipindahkan ke wad biasa selepas sembilan hari berada di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkongsi perkembangan berkenaan selepas menerima maklumat daripada ahli keluarga pemain berusia 26 tahun tersebut usai menziarah ayah Faisal, Abdul Halim Saad pada Selasa.

"Saya ada melawat ziarah keluarganya dan semangat keluarga beliau baik. Dari segi rawatan yang diterima Faisal.... Tentu sekali akan ambil masa yang panjang. Setiap yang terbaik dah diberikan dari sudut sokongan dan perubatan kepada Faisal dan keluarga. Dia kini mungkin dah keluar ICU betul tapi belum tentu boleh keluar hospital. Masih perlukan rawatan terbaik," katanya selepas ditemui selepas Majlis Pelancaran program Semarak Hari Belia Negara @ KBS 2024 di Menara KBS, Putrajaya pada Rabu.

BACA LAGI: Lepas 4 hari pembedahan, kulit dari Belgium sesuai untuk Faisal Halim

BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah

WhatsApp Image 2024-05-15 at 12.18.54

Majlis Pelancaran program Semarak Hari Belia Negara @ KBS 2024 di Menara KBS, Putrajaya pada Rabu.

Tambah Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, proses rawatan yang dilalui pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu cukup sensitif dan semua pihak diminta untuk tidak menganggu emosinya.

"Kita kena beri ruang pemulihan kepada Faisal. Setakat ini ada tanda-tanda positif, orang macam Faisal menunjukkan semangat yang tinggi untuk pulih.

“Rawatan Faisal agak sensitif dan perlu kurangkan contact dengannya. Kita pun tak nak ganggu dia. Setakat ini, dia dah boleh jalan, dah boleh makan,” tambahnya.

Terdahulu, Faisal dilaporkan menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani proses rawatan alograf kulit atau skin allograft yang dijalankan dilihat sesuai selain tiada jangkitan kuman terhadap pemain tersebut.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair sebelum ini ada menjelaskan bahawa rawatan dari Belgium bernilai RM30,000 itu dijangka membantu mempercepat pemulihan pemain sayap kebangsaan itu.

Skin allograft juga dianggap sebagai standard tertinggi untuk merawat luka kebakaran kepada pesakit yang tidak memiliki kulit yang cukup untuk menutup luka terbakar di badan.

Pada 5 Mei lalu, Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Susulan kejadian itu, Mickey mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan itu dan baju yang dipakainya turut kelihatan cair akibat kesan bahan berbahaya tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram