Nidzam Jamil masih berbelah bahagi, pertaruhkan Mukhairi atau Reziq Bani ganti Faisal Halim


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Nidzam (kanan) sedang membuat pertimbangan sama ada memilih Mukhairi atau Reziq Bani. — Facebook/SelangorFC

SELANGOR FC akan memulakan perlawanan kedua Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu ini tanpa kehadiran tonggak utama, Faisal Halim.

Pemain yang meledak 13 gol dan melakar 11 bantuan gol dalam 28 penampilan pada musim pertamanya bersama Selangor itu tidak akan beraksi dalam satu tempoh lama bersama Selangor susulan proses pemulihannya selepas insiden simbah asid pada awal Mei ini.

Ketiadaan Faisal itu membuatkan pengendali pasukan ini, Nidzam Jamil sedang membuat pertimbangan sama ada memilih ketua pasukan skuad Bawah 23 (B-23) tahun, Mukhairi Ajmal atau bintang import baharu, Reziq Bani Hani sebagai pengganti Faisal.

BACA LAGI: Fans pertikai Selangor dikhabar sanggup pecah tabung setengah juta demi bintang Jordan saat-saat akhir

BACA LAGI: Reziq Bani bukan 'last option', Selangor sahkan hanya belanja kira-kira RM50,000 tebus kontrak penyerang Jordan

"Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil bakal mempertaruh sama ada Mukhairi Ajmal atau Reziq Bani Hani untuk menggantikan tempat Faisal Halim dalam perlawanan bertemu Kedah Darul Aman pada Sabtu ini," memetik ciapan X pemerhati sukan, Fatin Ruzaiman pada Rabu.

Kedua-dua pemain berkenaan mempunyai kualiti tersendiri namun penyokong ramai berpendapat Mukhairi akan menjadi pilihan teratas Nidzam kerana pengalaman yang dimiliki bersama Gergasi Merah.

Malah, pemain yang turut beraksi di posisi tengah itu turut merekodkan statistik agak memberangsangkan bersama Gergasi Merah dengan merekodkan tujuh gol dan empat hantaran bantuan dalam semua perlawanan dia diturunkan.

WhatsApp Image 2024-05-15 at 15.55.39

Mukhairi boleh beraksi sebagai sayap kiri dan pemain tengah. — Facebook/SelangorFC

Berbeza dengan situasi Reziq Bani apabila import baharu berkenaan dijangka masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan Liga Malaysia (Liga M) kerana baru sahaja tiba di kem Gergasi Merah pada awal Mei ini.

Pengalaman beraksi atas padang Reziq Bani bagaimanapun jauh lebih mahal daripada Mukhairi selepas dia pernah membantu bekas pasukan Al-Faisaly dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Reziq Bani menyertai Gergasi Merah selepas selesai menabur bakti selama hampir setahun bersama kelab Jordan, Al Faisaly dengan Selangor merupakan kelab luar negara pertama pemain berusia 22 tahun berkenaan.

WhatsApp Image 2024-05-15 at 15.55.39 (1)

Reziq Bani ketika sesi latihan bersama Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

Sama ada Mukhairi ataupun Reziq Bani, Nidzam pasti sudah mempunyai strategi sendiri untuk mendapatkan tiga mata pertama mereka selepas terlepas untuk mendapatkannya dalam aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT)

Skuad Gergasi Merah sepatutnya berentap dalam saingan Piala Sumbangsih musim lalu berdepan juara bertahan Liga Super itu dalam aksi yang dijadualkan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Bagaimanapun, insiden luar padang dialami Faisal menyaksikan perlawanan itu dibatalkan dengan Selangor FC enggan hadir ke venue ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram