Sudah ada permata baharu, magis hantaran Azam Azih tetap jadi pilihan fans Tok Gajah


  • Podium
  • Rabu, 15 Mei 2024

Azam (kanan) tidak tersenarai dalam perlawanan pertama Sri Pahang menentang KDN FC pada Sabtu lalu.

PASUKAN Sri Pahang FC memulakan langkah kanan dalam perlawanan pertama Liga Super selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan jaringan 1-0 menerusi sepakan percuma Manuel Hidalgo di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu lalu.

Hidalgo yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengembalikan kegembiraan penyokong Tok Gajah selepas dia meninggalkan pasukan itu musim lalu untuk menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Selain Hidalgo, beberapa nama turut menjadi tumpuan penyokong Tok Gajah di antaranya Stefano Brundo, Mykola Ahapov, Kpah Sherman dan Mohd Saiful Jamaluddin.

BACA LAGI: 'Groom' sejak usia 17, Tengku Abdul Rahman anggap Faisal Halim macam anak didik

BACA LAGI: Sukar cari ganti, Farizal Marlias, Ifwat Akmal antara 6 senior paling setia sebelum tirai Liga Super 2024/25

Bercakap mengenai Saiful Jamaluddin, pemain muda berusia 22 tahun itu berjaya mencuri mata-mata penyokong yang hadir di stadium dengan aksi nakalnya dalam menangkis segala asakan pihak lawan.

Ketika perlawanan menentang Kelantan, Saiful turut memudahkan urusan Stefano dan Kuvondik Ruziev untuk membawa bola ke dalam kawasan pertahanan pihak lawan.

Ia merupakan satu persembahan yang amat baik ditonjolkan bekas pemain Akademi Felda United itu sehingga mendapat pujian daripada pengendalinya, Fandi Ahmad selepas perlawanan berkenaan.

"Tetapi yang penting, hari ini (perlawanan lalu) kita ada disiplin sangat bagus dengan Saiful Jamaluddin berperanan baik di posisi tengah.

"Dia ibarat 'wiper', bersihkan segalanya. Yalah, mereka tukar formasi asal daripada 4-3-3 kepada 4-2-2, jadi dua pertahanan kita terikat dengan dua serangan mereka. Maka Saiful yang banyak selamatkan keadaan di situ.

“Mungkin ada perubahan pada perlawanan itu dengan sebelum ini kita menggunakan Azam, tetapi secara teknikal saya juga dah cakap dengan beliau yang saya nak seorang ‘fighter’," kata Fandi selepas perlawanan.

Azam Azih

Azam (kiri) ketika beraksi dalam perlawanan pramusim menentang Putrajaya Athletic baru-baru ini. Facebook/Sri Pahang FC

Namun begitu, berbeza pula dengan pandangan penyokong Tok Gajah apabila mereka merasakan ketumpulan bahagian serangan Sri Pahang kerana ketiadaan bekas pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih.

Dalam ruangan komen, pemain ke-12 berpendapat Kpah Sherman tiada bantuan atau hantaran yang berkualiti daripada tengah untuk dia meledak jaringan gol dalam pertemuan menentang Kijang Hijau itu.

"Kalau Azam (Azih) main, Baqiuddin Shamsudin pun kena main sebab dah serasi," kata Azrin Hazzim.

"Rentak (corak) permainan Sri Pahang ada dikaki Azam Azih," ujar Zjohnz Pekan.

"Ikhlas dari hari, depan (serangan) tumpul sangat. Tengah Azam kena ada," jelas Suk Ong.

"Bukan Saiful (Jamaluddin) tak bagus, tapi Azam Azih perlu ada sebab dia enjin pasukan Pahang untuk menggerakkan bahagian serangan," luah Hakeem Zaidi.

Mungkin Fandi Ahmad lebih mengetahui taktikal yang perlu beliau turunkan ketika menentang KDN FC tempoh hari, tetapi tidak boleh dinafikan hantaran magis daripada Azam mampu mengelirukan pihak lawan.

Azam juga merupakan antara pemain yang paling lama berkhidmat bersama Tok Gajah dan mungkin dia mengenali rakan sepasukannya sendiri.

Namun apa-apa keputusan, penyokong hanya mahukan tiga mata wajib dibawa pulang apatah lagi beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram