MAJIKAN diberi tempoh 30 hari bermula awal Mei hingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tempoh yang diperuntukkan sempena Bulan Pemutihan kali ke-15 adalah peluang akhir kepada majikan untuk berbuat demikian dengan pengecualian daripada kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
"Majikan boleh mendaftar menerusi dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara atau hubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000.
"Sekiranya majikan masih gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan, PERKESO tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tiada lagi pengecualian dan tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan kepada majikan terbabit menerusi OPS Kesan 2024 yang akan dilaksanakan pada bulan Jun ini.
"Mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita pada Rabu.
BACA LAGI: Iktibar kes Faisal Halim, sut robot HAL antara manfaat jika kelab bola sepak mencarum PERKESO
BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO
Setiap majikan perlu mencarumkan pekerja dengan PERKESO bagi menjamin kebajikan mereka. — Gambar hiasan
Dr. Mohammed Azman menjelaskan, OPS Kesan itu dijalankan demi memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira embargo jumlah gaji) mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
"Kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, yang mana jumlah kompaun yang dikenakan boleh mencecah RM5,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan.
"Selain itu, majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam (6) peratus setahun di atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman PERKESO," katanya.
Berdasarkan statistik OPS Kesan Ke-14 pada 2023, tahap ketidakpatuhan majikan mencarum di bawah Akta 4 dan Akta 800 selepas pelaksanaan Bulan Pemutihan adalah berkadar 21.73 peratus, berbanding tahun sebelumnya iaitu 18.95 peratus.
Kebanyakan ketidakpatuhan ini membabitkan majikan berskala kecil dan baru memulakan perniagaan pasca pandemik.
OPS Kesan Ke-15 yang akan dilaksanakan pada Jun ini.
Menurut Dr. Mohammed Azman lagi, hasil dapatan PERKESO menunjukkan majikan dalam kategori pemilikan tunggal mencatat jumlah tertinggi bagi kesalahan lewat mendaftar dan mencarum selain kurangnya pengetahuan serta kesedaran mengenai kewajipan mencarum dalam kalangan majikan.
"Justeru, saban tahun apabila OPS Kesan dilaksanakan, kita lihat kadar ketidakpatuhan dalam kalangan majikan masih meruncing, sekali gus mengabaikan hak asasi pekerja untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial.
"Berdasarkan perangkaan PERKESO sehingga 31 Mac 2024, hampir 1.55 juta majikan telah berdaftar dengan PERKESO di bawah Akta 4 namun jumlah yang aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 600,819 majikan.
Jumlah pekerja aktif pula (sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan) adalah seramai 9.70 juta orang," jelasnya.
Tambahnya, Bulan Pemutihan kali ini turut memberi tumpuan kepada penyaluran maklumat berkaitan pencegahan kemalangan di tempat kerja di samping aktiviti dalam mempergiatkan usaha menguar-uarkan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada semua majikan terutama dari sektor kecil dan sederhana.
Ia bagi meningkatkan kesedaran golongan majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan kemalangan kepada pekerja selaras 'Vision Zero PERKESO' dalam mencapai sifar kecederaan pekerjaan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram