[VIDEO] Kedah memang perlukan masa, Nafuzi Zain tetap yakin mula musim baharu


  • Podium
  • Selasa, 07 Mei 2024

Nafuzi turut mengakui beberapa aspek dan kekurangan masih perlu diperbaiki pasukannya. — Facebook/KDA FC

MASALAH pengurusan menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa mengambil masa untuk mempersiapkan pasukan bagi saingan musim baharu kerana mereka perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun, kelewatan itu tidak memberi kesan terhadap perbelanjaan dibuat kelab Utara tanah air tersebut yang sempat membawa masuk beberapa wajah baharu.

Kehadiran penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad sebagai pemain pinjaman dan kepulangan Ebenezer Assifuah boleh dikatakan sebagai tumpuan utama pasukan sepanjang jendela perpindahan kali ini.

BACA LAGI: Kembali ke pangkuan Sang Kenari, Assifuah mampu jadi 'last piece' buat Kedah berbanding Milos

BACA LAGI: Lepas selesaikan isu gaji, naik taraf Stadium Darul Aman boleh jadi antara misi baharu Kedah

Namun, kemasukan nama-nama besar berkenaan masih belum dapat diterjemahkan di atas padang kerana keputusan skuad Sang Kenari sepanjang kempen pramusim tidak begitu memberangsangkan.

Kekalahan 0-1 kepada Perak FC dan seri kepada Melaka FC menjadi sedikit bukti pelbagai persiapan masih perlu dibuat sekiranya KDA FC bercita-cita besar bagi musim akan datang.

Hal terbabit turut diakui ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang mengakui pihaknya masih memerlukan masa, namun yakin ia dapat diselesaikan sebelum saingan bermula.

"Dari segi setiap perlawanan, ada penambahbaikan terhadap aspek yang saya mahukan dan kelemahan itu masih ada dan saya juga mahu perbaiki.

"Untuk pasukan ini, kita tidak boleh ubah segalanya dalam tempoh ringkas ini. Tetapi, sebelum aksi pertama ini, saya berasakan kita boleh jadi pasukan yang bersedia," katanya kepada MFL.

Skuad Sang Kenari bakal memulakan kempen Liga Super dengan perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu ini.

Aksi berkenaan boleh dianggap cukup penting dalam misi memulakan musim baharu dengan langkah kanan, sekali gus menyuntik moral untuk berada di kedudukan lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram