Boxer terpinggir Sabah luah rasa tak dihargai lepas cipta nama di peringkat kebangsaan


  • Podium
  • Ahad, 05 Mei 2024

Pada 2016, Hisyam berjaya memperoleh gelaran juara light heavyweight WBF di Singapura. — Facebook/Hisyam Samsudin

USAHA atlet tinju dari Sabah, Hisyam Samsudin mencipta nama di peringkat kebangsaan seakan-akan tidak dipandang oleh negeri kelahiran selepas tiada penghargaan diberi kepadanya.

Hisyam sebelum ini pernah berjaya memperoleh gelaran juara light heavyweight World Boxing Federation (WBF) di Singapura pada 2016 dengan menumpaskan lawannya dengan Technical KnockOut (TKO) di pusingan pertama.

Namun, kemenangan berkenaan dan pelbagai kejayaan lain seakan-akan tidak pernah dipandang oleh kerajaan negeri sehingga dia meluahkan isi hatinya yang berharap untuk melihat atlet lain dalam sukan itu mendapat sokongan padu dari negeri kelahiran.

BACA LAGI: Seri dengan Melaka buktikan skuad depth Kedah tak boleh pergi jauh, masih rapuh

"Aku bawa nama Sabah menang WBF Asia Pacific belt di Singapura. Tapi mungkin sebab aku bukan di bawah Persatuan Boxing Negeri Sabah aku tidak ada kena bagi apa-apa pengiktirafan walaupun sudah harumkan nama Sabah.

"Orang sendiri tidak bangga dengan boxer yang suda kerja keras usaha sendiri berlawan untuk nama Sabah tapi tidak diberi penghargaan, macam tiada guna bertarung sampai luar negara bawa bendera Sabah tu," luahnya di laman Facebook.

lawan isi

Hisyam merupakan anak didik kepada petarung veteran, AJ Lias Mansor. — Facebook/Hisyam Samsudin

Menerusi hantaran berbeza di laman Facebook, Hisyam yang kini merupakan pengasas EWAKO MMA Martial Arts Training Gym di Kota Kinabalu itu turut berharap agar pihak-pihak tertentu membuat tindakan sepatutnya menjaga atlet negeri.

Hisyam melihat banyak bakat-bakat di negeri Bawah Bayu itu dipersia-siakan begitu sahaja dek tiada usaha dari kerajaan negeri untuk memberi sokongan terutama dari seri bajet untuk membantu mereka bertanding di luar negara.

BACA LAGI: FFP tidak impak JDT, Selangor dan TFC tapi belum tentu selesai isu tunggakan gaji

"Orang kita masih fikir sukan hanya hobi, banyak atlet tidak dibantu hingga ke peringkat kebangsaan. Aku harap akan ada perubahan untuk Sukan di Sabah. Banyak atlet Sabah ada potensi untuk ke peringkat kebangsaan tapi sebab tiada sokongan. Semua sangkut tidak boleh bawa potensi keluar jauh. Terpaksa cari sokongan dari luar Sabah.

"Kebanyakan dari gambar ini, aku keluar duit sendiri. Pernah juga cuba minta tapi jawapan yang selalu dapat 'habis bajet'. Nasib juga ada dapat bantuan dari keluarga, kawan-kawan dan kadang orang asing bukan dari Sabah pun sanggup bagi tajaan untuk aku.

"Tolong jaga atlet-atlet di Sabah. Jangan guna atlet untuk menyenangkan kalian atas. Atlet yang penat latihan, penat pergi pertandingan. Hargai atlet kita di Sabah. Jaga atlet betul-betul, bukan jaga dompet kamu saja. Aku yakin banyak atlet Sabah ada potensi untuk pergi jauh," tambahnya.

Untuk rekod, Hisyam yang digelar Zephyrus itu pernah bertanding di kejohanan ONE Silat dan merupakan rakyat Malaysia pertama yang meraih gelaran juara light heavyweight WBF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram