'Kecederaan Faisal Halim boleh jejaskan karier bola sepak'


  • Podium
  • Isnin, 06 Mei 2024

Selangor kini kehilangan Faisal Halim (tengah) selepas menjadi mangsa simbahan asid.

ARENA sukan tempatan telah dikejutkan dengan berita mengenai dua pemain bola sepak diserang dan disamun sehingga mengakibatkan kecederaan di kepala serta anggota badan.

Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Akhyar Rashid menjadi mangsa pertama apabila disamun dan dipukul sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan kaki pada 4 Mei lalu.

Pada Ahad, Faisal Halim pula menjadi mangsa kedua apabila disimbah asid sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan, bahu dan badan semasa hendak keluar daripada kereta di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya.

BACA LAGI: 'Walaupun saya tidak kenal, harap mereka okay', 2 pemain warisan prihatin tentang Faisal dan Akhyar

Irfan Bakti

Irfan Bakti pernah membimbing Selangor.

Tambah menyedihkan, kecederaan Faisal lebih parah apabila disahkan melecur tahap empat di sekitar tubuhnya yang terkena simbahan asid oleh dua individu tidak dikenali.

Perkara tersebut mengejutkan bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang menuntut agar pemain-pemain profesional yang menjadi tumpuan ramai supaya berhati-hati dengan keselamatan sendiri.

"Kita sebagai seorang pemain profesional, kita harus jaga kita punya personaliti. Bukan tak boleh nak keluar, tapi kita mesti keluar dalam keadaan (berjaga-jaga).

"Sebab kita ini 'public figure', jadi apa saja bukan semua orang suka dan ada juga yang cemburu jadi manusia ini tahu sahajalah.

"Jadi kita kena jaga 'security' (keselamatan) diri sendirilah, walaupun kita bukan macam Ronaldo nak bawa 'body guard' (pengawal keselamatan).

"Tapi keluar itu kena berjaga-jaga dalam keadaan waspada," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Selangor FC hilang 6 tonggak utama sebelum lawan JDT?

Faisal Halim

Faisal menyertai Selangor pada musim lalu.

Tambahnya lagi, kecederaan yang dialami oleh Faisal pastinya akan memberi kesan daripada segi mental.

"Untuk masa depan macam Akhyar, saya rasa tidak teruk sangat sebab kepala dia alami kecederaan, cumanya dalam kes Faisal, perkembangan akhir kita tidak tahu macam mana.

"Kecederaan Faisal akan menjejaskan karier dia kerana tidak dapat turun latihan dan perlawanan. Jadi ini merupakan satu pengajaran untuk (pemain bola) yang berasakan dia itu ada nama, ada peminat.

Irfan pada masa sama berkata, dia tidak pernah berhadapan dengan isu sedemikian semasa aktif dalam bola sepak.

"Saya setakat kena lempar (barang) atau kena 'booo' sebab kalah sebagai jurulatih tapi sampai nak mencederakan itu memang tidaklah. Kita kena sentiasa mengelak dan jangan pergi dekat (ke arah) benda-benda macam itu.

"Permulaan dia (Faisal) sedikit sebanyak mungkin emosi terjejas macam fobia nak keluar rumah.

"Macam saya cakap tadi kalau kita tak pasang 'bodyguard', kena ada teman atau kawan supaya tidak berseorangan. Saya tak dapat beri jaminan sebab kita tak tahu hati manusia ini macam mana," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram