
MASA depan Tan Cheng Hoe bersama Police Tero masih kekal misteri sama ada bekas pengendali kebangsaan berkenaan akan kekal mengendali kelab divisyen satu Thailand tersebut ataupun sebaliknya.
Kedudukan pengendali kelahiran Kedah itu mula dipersoal selepas pasukan dengan jolokan The Silver Shield Dragon berkenaan masih menghuni zon penyingkiran Thai League 1 dengan 25 mata selepas mengharungi 27 perlawanan.
Sejak diberi amanah untuk membimbing Police Tero, Cheng Hoe seakan-akan tidak menemui ramuan terbaik apabila hanya meraih satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan sejak menyertai pasukan berkenaan pada Mac lepas.
BACA LAGI: Boxer terpinggir Sabah luah rasa tak dihargai lepas cipta nama di peringkat kebangsaan
Rekod perlawanan yang kurang memberangsangkan itu menyebabkan kedudukan bekas pengendali Selangor FC itu semakin terancam namun di satu sisi, Cheng Hoe masih berharap untuk kekal menerajui Police Tero.
Police Tero kini menghuni kedudukan ke-16 liga. — Facebook/PoliceTero
“Saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan. Tetapi bagi saya, saya mahu kekal di Thailand tak kira apa jua situasi kerana ini pengalaman baharu untuk saya.
“Saya mahu belajar sesuatu dan beradaptasi dengan budaya tempatan. Saya juga mahu belajar tentang bola sepak Thailand,” katanya seperti yang dilaporkan SNE Sports menerusi laman X pada Ahad.
Cheng Hoe berkata demikian selepas tidak berhasil membantu Police Tero meraih tiga mata apabila diikat tanpa jaringan dengan Chiangrai United pada Sabtu.
Jurulatih yang membawa skuad Kedah memenangi trofi Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih itu juga akui gembira dengan pihak pengurusan Police Tero yang sentiasa memberi sokongan kepadanya sejak hari pertama di bumi Thailand.
BACA LAGI: Seri dengan Melaka buktikan skuad depth Kedah tak boleh pergi jauh, masih rapuh
Antara momen Police Tero menentang Chiangrai United. — Facebook/PoliceTero
“Sudah tentu. Sejak saya datang buat kali pertama di Thailand dan bekerja dengan Police Tero, secara keseluruhan saya gembira dengan pihak pengurusan.
“Para pemain dan staf kejurulatihan memberi sokongan padu kepada saya. Sudah tentu sama ada Police Tero kekal di Thai League 1 atau tersingkir ke Thai League 2, saya tak pasti tentang masa depan saya," tambahnya.
Terdahulu, perpindahan Cheng Hoe ke Police Tero dari Selangor FC mencetuskan spekulasi sehingga ramai peminat beranggapan bahawa perpindahannya ke kelab itu hanya sebagai 'persinggahan sementara'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram