PENYOKONG Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya boleh menarik nafas lega apabila kelab itu akhirnya sudah bebas daripada isu gaji tertunggak dialami musim lalu.
Manakan tidak, kemelut yang membelenggu sejak awal tahun lalu itu hampir menyaksikan mereka gagal daripada beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.
Jadi, pengesahan yang diberikan di laman media sosial kelab pada Khamis itu sudah tentu membawa berita baik buat peminat setia pasukan.
Kini, dengan saingan Liga Super hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi, skuad Sang Kenari perlu memberi tumpuan terhadap beberapa perkara lain.
BACA LAGI: KL City dah selesai, kes FIFA KDA FC apa cerita?
Penyokong Kedah pasti berpuas hati dengan berita baik tersebut. — Facebook/KDA Fc
Persembahan di atas padang pasti menjadi keutamaan memandangkan pencapaian mereka musim lalu boleh dianggap suam-suam kuku meskipun sudah membuat perbelanjaan besar.
Perkara tersebut turut diketengahkan rata-rata penyokong yang pastinya mula memasang cita-cita besar untuk melihat kejayaan tahun-tahun lalu diulangi musim depan.
Bagaimanapun, bagi pihak pengurusan KDA FC, masih terdapat pelbagai perkara perlu diberikan perhatian bagi meletakkan semula pasukan berkenaan di landasan.
Langkah-langkah ini bukan sahaja penting untuk menaikkan reputasi kelab, malah dapat mencuri semula hati penyokong yang terluka akibat konflik sebelum ini.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga usaha utama perlu diambil kelab Utara tanah air tersebut dalam misi menjadi kelab gergasi tanah air semula.
1. Tambah baik fasiliti Stadium Darul Aman
Statistik daripada Liga Super 2023 menyaksikan penyokong KDA FC merupakan antara yang paling kerap hadir untuk memberi sorakan di stadium masing-masing.
Berdasarkan laman sesawang transfermarkt, seramai 112,483 penonton hadir dengan purata kira-kira 8,653 membanjiri Stadium Darul Aman, Kedah sepanjang 26 perlawanan.
Jumlah itu meletakkan mereka di tangga ketiga dengan ia merupakan catatan lebih baik berbanding naib juara Liga Super, Selangor FC yang berada di kedudukan kelima.
BACA LAGI: Kedah tunai janji demi slot Liga Super, Tan Sri Daud jadi watak utama
Beberapa kemudahan awam di Stadium Darul Aman boleh ditambah baik. — Facebook/Kedah FA
Oleh itu, dalam menghargai sokongan tidak pernah putus itu, pihak pengurusan kelab boleh mengambil inisiatif menambah baik kemudahan di stadium berusia 62 tahun berkenaan.
Pembaikan fasiliti awam, seperti tandas dan surau merupakan antara langkah awal boleh diambil memandangkan saingan Liga Super 2024/25 akan bermula tidak lama lagi.
Selain dapat mencuri semula hati penyokong, langkah tersebut juga boleh menarik pelabur yang yakin akan perancangan dan visi diterapkan kelab.
Meskipun perubahan terbabit memerlukan pelaburan besar daripada pihak pengurusan, ia amat penting untuk memastikan KDA FC dapat bersaing di dalam dan di luar padang.
2. Tarik lebih banyak pelabur dipercayai
Berdasarkan laporan, punca utama di sebalik masalah kewangan dialami KDA FC adalah tindakan beberapa pelabur untuk menarik diri pada pertengahan musim.
Situasi sedemikian pasti mahu dielakkan pihak pengurusan kelab yang enggan melihat episod gelap itu berulang sehingga mencalarkan imej pasukan.
Jadi, dalam misi memastikan struktur kewangan pasukan kukuh sehingga penghujung musim, pelabur yang dipercayai perlu diutamakan ketika ini.
Pengumuman Kumpulan Ar Ab sebagai rakan rasmi kelab membuktikan kesungguhan kelab. — Facebook/KDA FC
Langkah demikian sememangnya sudah diambil baru-baru ini apabila mereka mengumumkan syarikat tempatan, Kumpulan Ar Ab Sdn Bhd sebagai rakan rasmi baharu pasukan.
Tetapi, sekiranya KDA FC bercita-cita besar, mereka perlu cuba mendapatkan lebih banyak penaja yang dapat memberikan kelebihan dari segi kewangan buat mereka.
Pendekatan demikian juga bersesuaian dengan tujuan penswastaan yang dibuat beberapa musim lalu kerana pelaburan lebih kukuh boleh mengurangkan harapan pasukan terhadap dana kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dengan prestasi kelab tidak menentu beberapa tahun kebelakangan ini, sukar buat mereka untuk menarik syarikat megah sebagai penaja dalam masa terdekat.
3. Perbaiki prestasi di atas padang
Seperti dikatakan di atas, harapan besar diletakkan penyokong untuk menyaksikan KDA FC beraksi lebih baik berbanding musim lalu.
Meskipun berada di tangga keempat Liga Super, keputusan tidak membanggakan disaksikan dalam Piala Malaysia, Piala FA dan MFL Challenge Cup.
Jadi, dengan isu tunggakan gaji tidak lagi bermain di fikiran skuad Sang Kenari, harapan besar pasti diletakkan untuk membolehkan mereka beraksi lebih baik.
Skuad Sang Kenari mencatatkan keputusan membanggakan setakat ini. — Facebook/KDA FC
Melihat kepada prestasi dalam kempen pramusim, pasukan kendalian Nafuzi Zain memberikan sinar dengan siri kemenangan mula dicatatkan.
Rekod cemerlang itu perlu diteruskan dengan pengendali muda tersebut perlu memberi kepercayaan penuh terhadap barisan pemain dimilikinya ketika itu.
Bagaimanapun, hal berkenaan hanya boleh dilihat dalam aksi pembukaan Liga Super apabila KDA FC bakal berkunjung ke Stadium Selayang, Selangor untuk bertemu PDRM FC pada 11 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram