SEKIRANYA dibandingkan dengan musim lalu, Perak FC kini kelihatan lebih bersedia dengan pemain berpengalaman dan import yang dibawa masuk barisan kejurulatihan.
Tommy Mawat Bada dan Haziq Nadzli merupakan dua nama besar yang dibawa masuk kerana kedua-dua rekrut baharu tersebut memiliki pengalaman meluas dalam Liga Super.
Tidak cukup dengan itu, persiapan kali ini menyaksikan mereka menjalankan beberapa perlawanan persahabatan berdepan kelab lokal dan luar negara.
BACA LAGI: Welcome back chor', laman fans Perak beri klu skuad TBG bakal sambar bintang Pahang
BACA LAGI: Perak tak belajar dari kesilapan, kehilangan Hakimi Isa seperti kisah bekas permata TBG
Ia boleh dikatakan sebagai langkah penting kerana skuad The Bos Gaurus (TBG) bakal berdepan ujian besar dalam aksi pembukaan menentang Terengganu FC.
Situasi itu turut diakui tonggak kelab Utara tanah air itu, Firdaus Saiyadi yang percaya bahawa persiapan dibuat memberi ruang buat mereka mengetahui kelemahan untuk diperbaiki.
Meskipun meraih kemenangan ke atas Penang FC dalam aksi persahabatan, keputusan itu tidak boleh menjadi ruang untuk mereka berpuas hati akan kualiti terkini.
"Kita masih ada kekurangan sebelum liga bermula. Kita mestilah perbaiki apa segala kesilapan dalam setiap perlawanan yang sudah dimainkan setakat ini," katanya kepada MFL.
Selain berdepan pasukan tempatan, skuad kendalian Yusri Che Lah itu turut bertemu dua kelab Singapura, Geylang International serta Albirex Niigata sebagai persiapan.
Firdaus kelihatan yakin akan persiapan dibuat skuad TBG menjelang musim baharu. — Facebook/Perak FC
Kemenangan dalam hampir kesemua perlawanan itu sudah tentu akan menyuntik semangat selain membantu pihak kejurulatihan mengenal pasti kekuatan dimiliki mereka.
Jelas Firdaus lagi, Perak FC akan memberi sepenuh keringat dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu untuk mencatatkan keputusan positif.
"Kita akan lakukan yang terbaik. Jika rezeki berpihak kepada Perak dalam aksi pertama untuk mendapatkan mata, ia adalah sesuatu yang baik bagi kami," katanya.
Pemain tengah berusia 27 tahun berkenaan kembali ke pangkuan kelab Utara tanah air tersebut dari Kuala Lumpur (KL) City FC pada jendela perpindahan kedua musim lalu.
Meskipun masih belum mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama, kelibatnya masih cukup didambakan memandangkan dia adalah salah seorang pemain ketika kejayaan Perak FC dalam kempen Piala Malaysia 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram