KRISIS pengganti Mohd Izham Tarmizi Roslan akhirnya menemui titik penamat apabila Sri Pahang FC difahamkan akan membawa masuk penjaga gol muda dari Kedah Darul Aman (KDA) FC, Wan Syazmin Wan Rozaimi untuk menjadi penjaga gol baharu mereka.
Wan Syazmin bukan nama baharu dalam arena bola sepak Pahang selepas pemain berusia 24 tahun berkenaan pernah menabur bakti selama dua musim bersama skuad Tok Gajah sebelum memutuskan kembali ke Kedah pada awal tahun ini.
Tidak sempat debut bersama Sang Kenari, produk Piala Belia Kedah itu yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Belia 2017 berkenaan difahamkan akan menyertai semula Tok Gajah dengan status pemain pinjaman.
BACA LAGI: Hujan lebat halang Sri Pahang jadi sehebat TBG, gagal pesta gol lawan juara SPL
Wan Syazmin (kanan) menyertai Pahang pada awal musim 2022 sebelum menerima tawaran kembali ke Kedah pada 2023. — Instagram/WanSyazmin
BACA LAGI: Selangor cuba pujuk Dickson Nwakaeme, ‘hijack’ perpindahan adik ke Sri Pahang
Perkembangan baharu itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam yang melaporkan Wan Syazmin akan menyertai Tok Gajah secara pinjaman.
"Deal off, Sri Pahang sebaliknya memilih penjaga gol tempatan difahamkan Wan Syazmin Wan Rozaimi kembali perkuat Tok Gajah secara pinjama dari Kedah Darul Aman," katanya pada laman X pada Sabtu.
Kemunculan semula anak jati Alor Setar yang pernah beraksi selama tiga tahun bersama skuad Piala Presiden Kedah itu akan memberi saingan sihat buat dua lagi penjaga gol Sri Pahang iaitu Zarif Irfan Hashimuddin dan Azfar Arif Mohd Sukri.
Kehadiran Wan Syazmin juga sekali gus mengesahkan skuad Tok Gajah tidak berjaya merekrut penjaga gol berpengalaman Singapura, Izwan Mahbud dan menutup peluang pemain dari Uzbekistan iaitu Eldorbek Suyunov untuk menjadi benteng terakhir Sri Pahang.
Sebelum ini, Sri Pahang difahamkan berminat untuk mendapatkan penjaga gol import dengan mempertimbangkan dua penjaga gol berpengalaman itu untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan Izham.
Kemelut penjaga gol Sri Pahang berlaku apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) bertindak untuk memanggil semula Izham Tarmizi yang dipinjamkan ke Sri Pahang FC musim lalu pada jendela perpindahan yang sudah hampir ditutup.
Keputusan mengejutkan Harimau Selatan berkenaan menjadi satu tamparan buat skuad Tok Gajah lagi-lagi Izham Tarmizi merupakan antara penjaga gol yang sering digunakan oleh Fandi Ahmad pada musim lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram