'Welcome back chor', laman fans Perak beri klu skuad TBG bakal sambar bintang Pahang


  • Podium
  • Rabu, 22 Nov 2023

Skuad TBG pastinya bercita-cita besar untuk memberi saingan lebih hebat dalam saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Perak FC

MESKIPUN hanya berada di tangga kesembilan Liga Super ketika ini, masa depan Perak FC boleh dikatakan berada dalam landasan terbaik untuk musim depan.

Kebolehan pasukan Utara tanah air terbabit dapat disaksikan dalam saingan Piala Malaysia apabila mereka melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.

Prestasi mereka dalam Liga Super juga tidak boleh dipandang rendah dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) merekodkan tiga kemenangan daripada lima perlawanan terakhir.

Ia sememangnya menjadi satu petanda bahawa kelab itu boleh menjadi lebih baik musim depan sekiranya nama-nama besar dibawa masuk pada jendela perpindahan akan datang.

WhatsApp Image 2023-11-22 at 19.02.17

Tangkap layar daripada hantaran Silver Retro di laman Facebook mereka.

Meskipun sudah membuat pelaburan besar sepanjang musim, Perak FC masih belum memiliki skuad terbaik dengan pengendali pasukan, Yusri Che Lah masih perlu menggunakan khidmat pemain muda.

Pendekatan tersebut tidak boleh dinafikan mampu membawa hasil terbaik, namun kemasukan senior dapat memberikan mereka tunjuk ajar di dalam dan di luar padang.

Oleh itu, terdapat pelbagai permintaan dibuat penyokong skuad TBG yang mengharapkan agar pasukan itu mampu menarik pemain berpengalaman di posisi penting.

Cadangan tersebut seperti didengari apabila sebuah laman penyokong Perak FC, Silver Retro seperti memberi gambaran menerusi satu hantaran yang buat ramai pihak tidak senang duduk.

2138662

Bobie juga sempat memberi komen mengenai khabar angin yang ditimbulkan baru-baru ini tersebut. Facebook/Perak FC

"Selamat pulang chor," tulisnya ringkas sambil menyertakan sekeping gambar memaparkan bendera Pahang, tetapi tiada pemain khusus dipetik mereka.

Ia sememangnya menimbulkan pelbagai spekulasi apabila orang ramai mula meneka bahawa pihak pengurusan Perak FC akan mendapatkan seseorang daripada skuad Tok Gajah.

Malah, hantaran terbabit turut menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang memberi respons tersendiri mengenainya.

"Hantarannya cukup ringkas, tetapi beratus komen. Inilah kuasa spekulasi, entah-entah dia kata mengenai sesuatu yang lain. Tak pun, trend sekarang mengenai bergurau tu," tulisnya menerusi akaun Facebook TBG Super Fan.

1970065

Sergio Aguero yang kini merupakan kapten Sri Pahang FC pernah beraksi bersama skuad TBG.

Luahan Bobie itu juga tidak memberi sebarang bayangan mengenai khabar angin tersebut meskipun beberapa laporan tidak rasmi mengatakan mereka sedang mencari rekrut baharu pada masa akan datang.

Berdasarkan pemerhatian, kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero dipetik sebagai nama yang munasabah dengan pemain itu pernah beraksi bersama skuad TBG sebelum ini.

Namun, bagi sesetengah yang lain, ada juga berpendapat hantaran tersebut seperti memberi bayangan bahawa bek tengah Tok Gajah, Fadhli Shas merupakan individu yang disebut-sebut.

Meskipun tidak pernah beraksi bersama skuad TBG sebelum ini, status pemain pinjaman tersebut sebagai anak jati Lumut, Perak memberi gambaran mengenai kepulangannya itu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut pastinya tidak akan memberi respons mengenai perkara itu dengan masing-masing sedang sibuk dalam misi menamatkan saingan Liga Super bersama Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram