Izwan Mahbud, bekas teammate bek Selangor jadi pilihan Pahang gantikan Izham


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mei 2024

Izwan Mahbud memiliki pengalaman cukup luas dalam beberapa liga utama sekitar Asia Tenggara. — Agensi

SATU keputusan mengejut dibuat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila memanggil semula penjaga gol, Izham Tarmizi yang dipinjamkan ke Sri Pahang FC musim lalu.

Ini kerana skuad Harimau Selatan memiliki dua pemain berkualiti di posisi tersebut, Ahmad Syihan Hazmi dan Farizal Marlias di samping dikaitkan dengan seorang import baharu.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan sudah hampir ditutup, juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu perlu bertindak pantas dengan menyambar khidmat Izham semula

BACA LAGI: Hujan lebat halang Sri Pahang jadi sehebat TBG, gagal pesta gol lawan juara SPL

Izham-e1673245540664

Khidmat Izham ditagih semula JDT untuk saingan musim akan datang. Facebook/Sri Pahang FC

Perkhabaran berkenaan pasti menjadi satu tamparan buat skuad Tok Gajah kerana pengalaman penjaga gol berusia 33 tahun itu cukup berharga buat mereka.

Meskipun struktur fizikalnya sedikit menyekat persembahannya di atas padang, dia masih memiliki refleks cukup baik seperti mana dapat disaksikan musim lalu.

Jadi, dalam mengisi kekosongan ditinggalkan, kelab Pantai Timur itu dilaporkan sudah bersedia untuk mencari pengganti dengan beberapa jam berbaki sebelum jendela perpindahan ditutup.

Misi mereka seakan-akan sudah menemui penghujungnya apabila pemerhati sukan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Sri Pahang FC berminat untuk mendapatkan penjaga gol import.

"Deadline day. Izwan Mahbud difahamkan dalam pelan untuk ganti Izham Tarmizi, namun Sri Pahang ada pilihan lain dari Uzbekistan. Keputusan akan dibuat dalam tempoh 24 jam," katanya.

Izwan sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Super ketika pasukan dari Singapura, Lion XII memilih untuk mewarnai arena bola sepak tanah air.

Kehadirannya membantu kelab berkenaan meninggalkan impak besar apabila menjuarai liga pada 2013 selain menjulang Piala FA 2015 ketika berada di bawah kendalian pengendali semasa skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad.

BACA LAGI: Selangor cuba pujuk Dickson Nwakaeme, ‘hijack’ perpindahan adik ke Sri Pahang

eldorbek-suyunov-pakhtakor-1625990593-67027

Eldorbek mempunyai 28 penampilan buat skuad kebangsaan Uzbekistan. Agensi

Bagi penjaga gol dari Uzbekistan pula, nama yang disebut-sebut ialah Eldorbek Suyunov yang kini merupakan ejen bebas setelah dilepaskan Pakhtakor.

Pemain berusia 33 tahun itu pastinya mampu membawa kelainan buat saingan Liga Super musim depan kerana dia pernah beraksi buat negara kelahirannya berkenaan sebanyak 28 kali.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman meluas selain di Uzbekistan, dia boleh tertarik untuk mencuba nasib di Malaysia dengan lambakan rakan senegaranya bakal beraksi dalam arena bola sepak tempatan.

Ini termasuk bekas rakan sepasukannya, Umarbek Eshmurodov yang baru sahaja menyertai Selangor FC dengan mereka pernah beraksi bersama-sama sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram