Pramusim jadi medan jeneral tersisih kembali rebut slot bergandingan dengan Syafiq Ahmad di Sang Kenari


  • Podium
  • Ahad, 28 Apr 2024

Skuad Sang Kenari dilihat semakin bersedia untuk menghadapi musim baharu. — Facebook/KDA FC

PERSIAPAN secara sederhana dianjurkan Kedah Darul Aman (KDA) FC sepanjang tempoh pramusim dengan beberapa kelab Liga Super dipilih sebagai lawan mereka.

Meskipun pertembungan itu belum cukup untuk mengenal pasti kebolehan pasukan, ia memberi peluang buat muka-muka baharu menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan serta taktikal Nafuzi Zain.

Pada Sabtu, Perak FC menjadi pilihan skuad Sang Kenari dengan hampir kesemua nama-nama baharu meraih minit permainan dalam aksi yang diadakan di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan sedikit mengecewakan dicatatkan KDA FC kerana mengalami kekalahan 0-1 selain pemain sayap, Sony Norde gagal menyempurnakan penalti pada penghujung permainan.

Bagaimanapun, perlawanan itu boleh dianggap sebagai satu medan terbaik untuk mengasah kemampuan pasukan dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) juga bercita-cita besar musim depan.

BACA LAGI: Hargai sumbangan legenda, Terengganu, NSFC, KL City boleh ikut langkah Kedah

439914218_471474171900432_3859530849224868154_n

Halim (kiri) beraksi dengan cemerlang sepanjang kempen pramusim Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Salah seorang pemain yang mengambil manfaat daripada pertembungan tersebut ialah Halim Saari dengan persembahan bertenaga dipamerkan sepanjang berada di atas padang.

Pemain tengah yang sering disisihkan akibat isu kecederaan kelihatan cukup berbeza dalam perlawanan terbabit apabila tenang dalam mengawal rentak permainan di samping mematahkan serangan lawan.

Persembahan berkenaan semestinya dihargai penyokong dengan sebuah laman Facebook, Hijau Kuning Supporter memberikan pujian melambung terhadapnya.

"Halim Saari pemain yang mencuri tumpuan pada aksi pramusim. Tatkala ramai yang tertumpu kepada aksi pemain import, Halim ialah pemain tempatan yang dilihat menyerlah dengan aksi ketenangan dalam mengawal bahagian tengah padang berganding bersama Habib Haroon dan Syafiq Ahmad.

BACA LAGI: Kedah aset penting Liga M — MFL

439839748_471473248567191_9091259687670850716_n

Habib merupakan gandingan terbaik buat Halim Saari di bahagian tengah musim depan. Facebook/KDA FC

"Bangkit dari kecederaan musim-musim lalu, kini Halim sudah mendapat rentak aksinya. Semoga Halim dan pasukan Kedah terus mempamerkan aksi yang cukup menarik dan mencipta kejayaan untuk aksi musim 24/25," katanya.

Halim kembali ke pangkuan skuad Sang Kenari pertengahan musim lalu ketika kariernya terumbang-ambing akibat isu kecederaan berulang dialaminya.

Bagaimanapun, kepulangannya tidak membuahkan hasil kerana dia hanya mengumpul 25 minit permainan daripada tiga penampilan dicatatkannya dalam Liga Super.

Sekiranya kecergasannya dapat dikekalkan pemain berusia 29 tahun tersebut pasti akan dapat digandingkan bersama Habib atau Amirul Hisyam Awang Kechik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram