Perak tak belajar dari kesilapan, kehilangan Hakimi Isa seperti kisah bekas permata TBG


  • Podium
  • Rabu, 06 Dis 2023

Hakimi antara pemain muda semakin meningkat dalam Perak FC. — Facebook/Perak

PERAK FC difahamkan bakal berwajah baharu pada musim depan apabila pengendali The Bos Gaurus (TBG), Yusri Che Lah mengumumkan akan membuat rombakan dengan membawa masuk beberapa pemain.

Yusri berkata, pasukan Utara tanah air berkenaan akan melakukan rombakan terutama di posisi penjaga gol, pertahanan dan serangan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Susulan pengumuman berkenaan, tidak hairanlah jika ada pemain yang mengumumkan sudah tidak lagi menyarung jersi skuad Seladang ialah penyerang muda, Muhd Hakimi Mat Isa.

Pemain yang bermula dengan skuad simpanan Perak itu mula menonjol apabila Hakimi berjaya menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan Piala Malaysia sekali gus memberikan kelebihan buat The Bos Gaurus untuk mara ke pusingan seterusnya.

Meskipun Hakimi berstatus sebagai pemain baharu namun kehilangan tonggak berusia 22 tahun itu meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong The Bos Gaurus (TBG) sehingga mereka mengibaratkannya dengan bekas penyerang sayap, Nurridzuan Abu Hassan.

Penyokong TBG rata-ratanya berpendapat bahawa Hakimi merupakan seorang penyerang yang laju, memiliki penguasaan bola yang baik, tenang di hadapan gawang gol dan mempunyai penyudah.

nuri

Nurridzuan ketika mewakili Selangor FC pada musim 2019. Facebook

Seperti yang dilontarkan oleh laman penyokong boa sepak tanah air, Palatao Bola, situasi menimpa Hakimi itu adalah seakan-akan skrip ketika Perak gagal memujuk Nurridzuan untuk kekal bersama skuad Seladang.

Nurridzuan adalah pemain yang memulakan karier bola sepak bersama skuad Piala Presiden Perak dan sebagai ketua pasukan ketika itu, dia berjaya membawa skuad berkenaan menjuarai Piala Presiden pada 2012.

Pemain yang kini berusia 31 tahun berkenaan berhasil meningkat naik bersama pasukan Perak FC sehingga berjaya menarik minat Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk membawanya ke Johor Darul Takzim (JDT) ketika berada di prestasi terbaiknya pada 2015.

Dia bagaimanapun memilih Sri Pahang sebagai destinasi baharu pada 2017 namun ia tak bertahan lama dan akhirnya berhijrah ke pasukan PKNS FC, Selangor dan Melaka United FC.

Tidak seperti di Perak, anak jati Perak berkenaan gagal mempamerkan prestasi terbaik menyebabkan kelibatnya kini tiada dalam saingan Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram